Adun Sebatik Dakwa Dipaksa Angkat Sumpah Untuk Jadi Calon

44

2 MAC : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir mendakwa sumpah setia pada Parti Warisan Sabah (Warisan) yang dilafaz sebelum menjadi calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) dibuat kerana  paksaan daripada pihak parti.

Hassan mendedahkan perkara tersebut menerusi Facebook miliknya malam tadi, memberitahu bahawa beliau tidak akan dicalonkan sebagai calon Warisan bagi Pilihanraya Negeri (PRN) Sabah yang lalu sekiranya tidak melafazkan sumpah.

“Hari ini (semalam) viral video aku janji dan sumpah saya di media sosial. Betul saya bersumpah tapi sumpah ini tidak sah kerana terpaksa. Sekiranya saya tidak bersumpah saya tidak akan dicalonkan,” katanya.

Menerusi kenyataan sama, beliau memberikan sokongan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah kerana rakyat di kawasannya.

“Saya sokong GRS kerana rakyat di kawasan Sebatik,” katanya.

Susulan tular video tersebut, difahamkan surat peletakan jawatan Hassan A Gani Pg Amir sebagai ADUN Sebatik sudah dihantar ke pejabat Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini

Surat itu disampaikan oleh Setiausaha Agung Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Loretto Padua pada jam 12.15 tengah hari di Bangunan DUN.

Surat itu ditujukan kepada Speaker DUN Sabah berhubung peletakan jawatan serta-merta Hassan sebagai ADUN Sabah.

Antara isi kandungan surat itu menyatakan selaras dengan ikrar kesetiaan kepada Warisan, Hassan menyerahkan dan memaklumkan peletakan jawatan sebagai ADUN dengan serta-merta.

Kandungan surat itu juga menyatakan bahawa beliau faham bahawa dengan tindakannya itu, beliau tidak akan layak untuk menjadi calon untuk ADUN selama lima tahun bermula dari tarikh surat itu.

Terdahulu, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal semalam memaklumkan salinan surat itu akan diserahkan juga kepada Yang di-Pertua Negeri dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Beliau mendakwa kononnya Hassan mungkin sudah lupa mengenai ikrar, surat ditandatangani dan video beliau melafazkan ikrar yang berada dalam simpanan sebagai bahan bukti.

“Bukan ada paksaan, tidak ada tekanan kepada Hassan sebelum beliau menjadi wakil rakyat dan semua wakil-wakil rakyat kita memang kita memang diminta melafazkan janji selaku pimpinan bahawa jangan khianati perjuangan ini,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.