Tunjang disiplin jadi jati diri Tentera Darat hadapi cabaran

83

1 MAC : Mencecah usia 88 tahun Tentera Darat Malaysia, tunjang disiplin tetap menjadi jati diri pasukan dalam menghadapi pelbagai cabaran bagi mencapai tahap kesiagaan tertinggi dalam menjaga kepentingan dan mempertahankan kedaulatan negara.

Sepanjang usia itu pelbagai cabaran dilalui antaranya dari segi merencana penggantian aset dan perolehan aset baharu yang berteknologi tinggi dalam melaksanakan misi untuk menjadi sebuah ketumbukan yang kredibel dan kekal relevan.

ZAMROSE

Panglima Tentera Darat, Jeneral  Tan Sri Zamrose Mohd Zain berkata, tidak kurang juga cabaran berkaitan adaptasi anggota tentera dalam persekitaran yang kompleks sekali gus memastikan daya juang pasukan tidak terjejas.

“Warga Tentera Darat Malaysia pada masa kini berada dalam persekitaran sosial yang sangat mencabar. Persekitaran negatif yang jika tidak dibendung melalui tindakan pemerintahan yang komprehensif akan menyebabkan kerugian kepada sumber manusia dan seterusnya akan menjejaskan daya juang Tentera Darat Malaysia.

“Tarikan dari luar serta pengaruh negatif menyulitkan pemerintah untuk membina dan mengekalkan jati diri anggotanya…(tetapi) seperti sedia maklum, tunjang disiplin tentera adalah jati diri yang baik,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama Bernama sempena Hari Tentera Darat ke-88 di Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Zamrose berkata, pelbagai perancangan disusun sejak beliau memegang tampuk pemerintahan Tentera Darat Malaysia pada Jun tahun lepas sebagai kesinambungan daripada pemerintahan terdahulu.

Lima Tonggak (5T) iaitu Kelangsungan Misi dan Kesiagaan; Keutuhan Organisasi; Pelestarian Kesejahteraan Warga; Pengukuhan Hubungan Pertahanan; dan Peningkatan Hubungan Tentera Darat dengan Awam menjadi panduan utama.

“Sehingga ke hari ini, pelan-pelan tindakan yang dirangka telah mula menampakkan pencapaian yang positif, walaupun kita masih lagi berhadapan dengan pelbagai cabaran termasuk cabaran pandemik COVID-19 yang melanda dunia sejak awal tahun lepas,” katanya.

Mengimbau pencapaian tahun 2020, Zamrose berkata, pasukan itu berjaya meneruskan kesinambungan dalam merealisasikan penstrukturan Tentera Darat Malaysia secara holistik bagi meningkatkan keupayaan aset dan sumber manusia di Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat (Sabah dan Sarawak).

Selaras dengan usaha meningkatkan keupayaan pasukan, beberapa perolehan aset baharu juga telah berjaya dilaksanakan termasuk perolehan Kereta Perisai 8 X 8 Gempita dan tambahan unit Meriam 105MM.

“Beberapa kejayaan yang lain dapat dilihat dalam aspek operasi, pentadbiran dan logistik,” katanya.

Zamrose berkata, antara pencapaian lain pasukan ialah keberkesanan operasi yang dilaksanakan dalam membantu kerajaan menguruskan bencana, sama ada bencana kesihatan mahupun bencana alam.

Beliau berkata, pasukan itu turut terlibat secara langsung dalam mengawal penularan COVID-19 melalui Op Benteng dan melalui kerjasama dengan pihak berkuasa lain dalam Op Penawar serta sentiasa komited dan bersiap sedia dalam memberikan bantuan semasa Op Murni, antaranya bantuan menyelamat mangsa banjir.

Dalam memastikan moral dan kebajikan warga tentera darat sentiasa terjaga, jelasnya, keselesaan Rumah Keluarga Angkatan Tentera dan bangunan teknikal ditingkatkan melalui inisiatif kebajikan yang dilaksanakan pasukan itu.

“Tentera Darat Malaysia juga telah mempergiatkan lawatan kebajikan secara menyeluruh di setiap formas.

“Selain itu Sistem Laluan Kerjaya Pegawai dan Anggota Tentera Darat Malaysia juga diperbaiki iaitu peluang yang lebih baik diberikan bagi tujuan kenaikan pangkat berdasarkan pengiktirafan kepada kepakaran yang dimiliki mereka,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.