Tujuh Kluster Baharu,Satu Babitkan Pusat Jagaan Warga Emas

33

1 MAC : Tujuh kluster baharu direkodkan hari ini yang membabitkan empat negeri iaitu Johor, Kuala Lumpur, Selangor, dan Kelantan

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kluster Desa Empat dilaporkan di Kuala Selangor, Selangor dikesan melalui saringan bersasar di sebuah pasaraya dengan 18 kes dikesan positif.

“Kluster kedua dikenal pasti adalah Kluster Jalan Melati yang dilaporkan di Gombak, Selangor dan hasil saringan bersasar  di sebuah kedai serbaneka membabitkan tujuh kes positif.

“Kluster ketiga, Kluster Jalan Kempas Tiga yang dilaporkan di Muar, Johor, hasil saringan bersasar di sebuah kilang dengan 344 kes dikesan positif,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, Noor Hisham memberitahu hasil saringan bersasar di sebuah kilang yang terletak di Pontian, Johor mengesan 22 kes positif yang membentuk kluster baharu keempat hari ini iaitu Kluster Kampung Sungai Burung. 

Menurut beliau, Kluster Jalan Cempedak  pula merupakan kluster kelima yang dikesan membabitkan pusat jagaan warga emas di Kepong, Kuala Lumpur dan 10 daripada 30 individu yang disaring disahkan positif COVID-19. 

“Kluster keenam yang dikesan adalah Kluster Jalan Wawasan 12 yang dilaporkan di Batang Pahat, Johor. Hasil saringan bersasar pekerja sebuah kilang dengan tujuh kes dikesan positif. 

“Kluster terakhir dikenal pasti adalah Kluster Bukit Marak yang dilaporkan di Bachok, Kelantan dengan hasil saringan individu bergejala di lokaliti kediaman dengan 66 kes dikesan positif dalam kluster berkenaan,” katanya.

Sementara itu, tambahan kluster itu menjadikan keseluruhan 1,145 kluster aktif sehingga kini dengan 657 kluster disahkan tamat, manakala jumlah kluster aktif adalah 488 kluster.

Menurutnya, 10 kluster tamat hari ini adalah Kluster Pasir Barat, Kluster Sri Suria, Kluster Nilam Tiga, Kluster Persiaran Sabak, Kluster Tembok Kemus, Kluster Intan Delima, Kluster Pengerang Utara, Kluster Sungai Purun, Kluster Lapangan Siber, dan Kluster Bedayan

“Sebanyak 82 kluster (daripada kluster aktif) melaporkan pertambahan kes, yang tertinggi adalah Kluster Jalan Kempas Tiga (334 kes), Kluster Industri Sungai Gadut (128 kes), dan Kluster Tembok Tapah (80 kes),”katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.