Tindakan Steven Choong sokong PN tepat pada masanya

54

1 MAC : Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon dilihat mengambil keputusan bijak serta berpandangan jauh bagi memastikan rakyat di kawasan Parlimen Tebrau terbela dan mendapat perhatian sewajarnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Seri Che Zakaria Mohd Salleh menyifatkan tindakan Steven Choong menyokong Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tepat pada masanya, sekali gus mengukuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Ini kerana wakil rakyat yang bersama-sama kerajaan lebih mudah untuk disalurkan peruntukan. Keputusan Steven Choong itu adalah atas kesedaran beliau untuk menyelesaikan isu-isu rakyat di kawasannya.

“Tak perlulah kita membuat spekulasi. Parlimen Tebrau sedang mengalami proses urbanisasi yang pesat dan pantas berkembang. Banyak masalah rakyat perlu diselesaikan antaranya banjir, pencemaran sungai, pembuangan sampah haram dan isu perumahan,” katanya, hari ini. 

Terdahulu, selain Steven Choong, Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien yang masing-masing daripada PKR menyatakan sokongan kepada kerajaan PN selepas menyerahkan akuan bersumpah (SD) yang ditandatangani mereka kepada Perdana Menteri dan telah disahkan Muhyiddin menerusi Facebook miliknya semalam. 

Dalam pada itu, Che Zakaria memberitahu pengukuhan kerajaan PN penting dalam memastikan segala usaha memerangi COVID-19 dan semua perancangan untuk rakyat dapat diteruskan tanpa diganggu-gugat pihak berkepentingan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.