Setahun mentadbir, PN berjaya selesaikan tuntutan Sarawak

201

1 MAC: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin berjaya menyelesaikan tuntutan terhadap Petroliam Nasional Berhad (Petronas) membabitkan tuntutan cukai jualan (SST) hasil minyak dan gas yang digali di Sarawak dalam tempoh setahun.

Menteri Kanan Kerja Raya, Fadillah Yusof, berkata Sarawak menjadi rakan kongsi Petronas untuk bersama-sama membangunkan industri minyak dan gas di negeri terbabit, yang akhirnya menyumbang kepada kemakmuran bersama negara.

“Jika kita ingat Sarawak banyak kali membuat tuntutan ini berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), tetapi belum sampai setahun Muhyiddin menjadi Perdana Menteri, beliau dapat menyelesaikan isu berhubung kait dengan tuntutan Sarawak dengan Petronas.

“Insya-Allah, kita (Kerajaan Persekutuan) akan berunding dengan Sabah untuk mencari penyelesaian perihal tuntutan Sabah terhadap Petronas pula.

“Ia antara mandat diberikan dan itu komitmen Perdana Menteri serta kerajaan sekarang untuk bersama-sama melihat bagaimana keseluruhan negeri dan negara kita dapat mencipta kemakmuran bersama, akhirnya kita dapat mendepani apa saja cabaran yang dihadapi pada masa ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Fadillah yang juga Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata beliau juga diamanahkan Perdana Menteri bagi memastikan Sabah dan Sarawak tidak ketinggalan dari segi fizikal atau infra fizikal.

Fadillah berkata,  antara perkara yang diberi perhatian dalam pentadbiran Muhyiddin adalah projek Lebuh Raya Pan Borneo di kedua-dua negeri.

Katanya, sebelum ini apabila pertukaran kerajaan terdahulu, kaedah pelaksanaan untuk projek itu juga turut berubah yang menyebabkan projek itu terlewat daripada jadual.

“Saya diamanahkan bagaimana kita nak mempercepatkan penyiapan Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak yang sekarang sudah siap kira-kira 60 peratus, manakala di Sabah hanya 15 daripada 35 pakej dapat dilaksanakan dan 20 pakej dulu dibatalkan.

“Justeru, kita perlu mencari kaedah untuk menyambung balik projek terbabit. Ini perkara dihasratkan Sabah untuk dibawakan ke Kerajaan Persekutuan supaya keseluruhan 35 pakej Lebuh Raya Pan Borneo Sabah dapat dilaksanakan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.