PM: empat langkah tambahan kawal Covid-19, pulih ekonomi

62

1 MAC: Perdana  Menteri mengumumkan bahawa kerajaan akan melaksanakan empat langkah tambahan bagi mengawal penularan Covid-19 dan pemulihkan ekonomi negara, pada masa depan.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah tambahan pertama adalah dengan menyediakan bantuan secara bersasar kepada kumpulan rentan, terutamanya golongan miskin serta golongan yang mengalami kehilangan pendapatan.

Menurutnya, langkah kedua adalah dengan meningkatkan sokongan kepada perniagaan, khususnya perniagaan yang masih tidak dapat beroperasi dan perniagaan yang sedang dalam proses pembukaan semula pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

ekonomi

“Ketiga, memberi tumpuan kepada sistem penyampaian awam terutamanya bagi memastikan bantuan sampai kepada semua yang memerlukan, menyegerakan pelaksanaan projek pembangunan serta mengurangkan karenah birokrasi supaya aktiviti ekonomi kembali rancak sehingga ke peringkat akar umbi dan menggalakkan pelaburan baharu dari dalam dan luar negara.

“Keempat, memberi fokus utama kepada agenda pendigitalan selaras dengan pertumbuhan sumber kekayaan baharu dan transformasi ekonomi negara dalam aktiviti yang berasaskan pengetahuan dan inovasi,” katanya ketika berucap di Majlis Amanat Perdana Setahun Kerajaan Malaysia Prihatin di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, kerajaan juga akan mengambil pendekatan yang lebih bersasar dengan melaksanakan PKP yang lebih ketat di lokasi-lokasi kluster jangkitan.

Pada masa yang sama, Muhyiddin  berkata, ekonomi akan terus dibuka tertakluk kepada amalan penjarakan sosial serta SOP yang ketat.

“Penguatkuasaan SOP akan dipertingkatkan. Tindakan tegas akan diambil ke atas mereka yang didapati tidak mematuhi SOP bagi memastikan aktiviti ekonomi dan mata pencarian untuk majoriti rakyat dan perniagaan dapat kekal dibuka dan diteruskan,” katanya.

Muhyiddin berkata, walaupun aktiviti ekonomi akan dibuka, kawalan pergerakan masih diperlukan termasuk kawalan sempadan antarabangsa, kawalan pergerakan merentasi negeri dan juga aktiviti sosial dan perniagaan di mana penjarakan sosial tidak dapat diamalkan.

Beliau berkata, pembukaan aktiviti seumpama ini hanya dapat dilaksanakan setelah pelaksanaan imunisasi mencapai tahap tertentu dari segi liputan rakyat.

Katanya, pandemik COVID-19 memberi kesan yang besar kepada masalah pengangguran di negara ini. Pada tahun 2020, sebanyak 107,024 kes pemberhentian kerja dilaporkan manakala 14,273 kes lagi dilaporkan sehingga 21 Febuari 2021.

“Untuk mengatasi masalah pemberhentian kerja dan pengangguran, kerajaan telah menubuhkan Majlis Pekerjaan Negara (MPN) yang merupakan badan tertinggi dalam penetapan dasar dan strategi serta pemantauan pelaksanaan inisiatif berkaitan penciptaan pekerjaan.

”Bagi tahun 2021, MPN menyasarkan pewujudan sebanyak 500 ribu peluang pekerjaan kepada rakyat negara ini.

“Untuk tujuan ini, Kerajaan menerusi PERKESO sedang melaksanakan program PenjanaKerjaya 2.0 dan pemerkasaan portal MYFutureJobs bagi menggalakan majikan mengambil dan melatih pekerja-pekerja baharu.

“Sepanjang tahun lalu, seramai 161,603 pencari kerja telah ditempatkan di dalam pekerjaan baharu. Setakat 26 Februari 2021, seramai 25,648 orang lagi telah berjaya mendapat pekerjaan.

“Melalui MyFutureJobs, terdapat 243,892 tawaran pekerjaan yang masih terbuka untuk para pencari kerja di mana 143,320 peluang pekerjaan telah diwujudkan menerusi portal MYFutureJobs,” katanya

Sebagai sebahagian daripada usaha untuk menyokong pertumbuhan ekonomi dan penciptaan pekerjaan, Muhyiddin berkata, kerajaan akan memberi fokus kepada pemerkasaan ekonomi digital.

“Menjelang tahun 2025, ekonomi digital dijangka akan menyumbang 22.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Sehubungan itu, saya telah melancarkan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dan inisiatif MyDigital pada 19 Februari yang lalu.

“Rangka tindakan ini menyediakan hala tuju untuk Malaysia menjadi sebuah negara yang berdaya saing dalam era digital ini,” katanya. – Oleh Haika Khazi

Get real time updates directly on you device, subscribe now.