Ismail Sabri dedah digelar ‘budak jahat’ perkenalkan PKP

102

1 MAC: Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob, mendedahkan pernah digelar ‘Bad Boys’ atau ‘Budak Jahat’ ketika kerajaan memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan prosedur operasi standard (SOP) ketat pada Mac tahun lalu demi melindungi nyawa rakyat daripada dijangkiti COVID-19.

Ismail Sabri berkata, biarpun berat dan kesannya amat besar namun kerajaan terpaksa membuat keputusan drastik menutup semua sektor ekonomi dan mengarahkan rakyat hanya duduk di rumah kerana demi keselamatan nyawa mereka, biarpun belum ada negara lain berbuat demikian untuk dijadikan panduan untuk mengawal penularan Covid-19.

Biarpun belum sampai dua minggu berada barisan Kabinet Tan Sri Muhyiddin Yassin, termasuk dirinya mula bertugas di kementerian masing-masing, namun kerajaan terpaksa mengumumkan pelaksanaan PKP mulai 18 Mac 2020 kerana nyawa rakyat lebih penting daripada segalanya.

“Apa yang kita lakukan adalah acuan kita sendiri. Alhamdulillah kita lihat, kita memperoleh kejayaan. Memang benar saya jadi ‘bad boy’ lah kerana saya yang terpaksa menutup (sempadan).

“Saya yang terpaksa memperkenalkan SOP ketat dan sebagainya, tetapi ia adalah antara nyawa dan kehidupan. Bagi kita (kerajaan) nyawa rakyat amat penting dan mesti dilindungi.

“Sebab itulah kita memperkenalkan PKP pertama yang sangat ketat sehingga tidak ada pergerakan langsung, semua hanya duduk di rumah,” katanya pada sidang media selepas Majlis Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata apabila keadaan semakin baik kerajaan memperkenalkan pula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan beberapa sektor ekonomi mula dibuka, manakala apabila Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) diperkenalkan, lebih banyak sektor ekonomi dibenarkan.

Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata kerajaan masih memastikan SOP yang diperkenalkan pada PKP dipatuhi dan sekatan jalan raya serta kawalan sempadan masih dilaksanakan untuk mengawal kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk memperkasakan Ops Benteng.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata keputusan sama ada PKP dan PKPB yang dilaksanakan di seluruh negara sekarang disambung atau tidak akan diumumkan selepas Sidang Khas Majlis Keselamatan (MKN) mendengar taklimat penilaian risiko dibuat Kementerian Kesihatan hari ini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.