Daerah Nabawan Sabah dikenakan PKP bermula 3 Mac

33

1 MAC: Kerajaan hari ini mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah Nabawan, Sabah berkuatkuasa mulai 3 hingga 16 Mac 2021.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan terpaksa berbuat demikian selepas Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan terdapat peningkatan kes Covid-19 secara mendadak dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi dilaporkan berlaku di daerah Nabawan, Sabah.

Malah, Ismail Sabri berkata sehingga 28 Februari 2021, secara kumulatif sebanyak 177 kes positif  telah dilaporkan yang melibatkan 15 buah kampung di daerah ini.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah Nabawan, Sabah bermula 3 Mac sehingga 16 Mac 2021.

“Pelaksanaan PKP ini untuk mengawal pergerakan penduduk di daerah ini dan seterusnya untuk mengawal penularan jangkitan dalam komuniti,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata kerajaan juga bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Felda Jengka 1, Felda Jengka 2, Felda Jengka 7 dan Felda Ulu Jempol, Maran, Pahang mulai esok hingga 15 Mac ini.

Beliau berkata tindakan berkenaan diambil selepas KKM melaporkan sehingga kini sebanyak 46 kes positif COVID-19 telah direkodkan yang melibatkan kluster di kawasan terbabit.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di kawasan terbabit bermula 2 sehingga 15 Mac 2021.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan pengesanan awal kes-kes COVID-19 supaya dapat diasingkan secepat mungkin dan memastikan warga Felda Jengka 1, 2, 7 dan Felda Ulu Jempol yang berisiko dijangkiti kekal berada di dalam kawasan PKPD,” katanya.

Dalam pada itu Ismail Sabri juga mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju menamatkan tiga PKPD iaitu PKPD Penjara Sg. Udang dan Kuarters Kakitangan,
Melaka Tengah, Melaka; PKPD Kampung Sg Maong, Kuching, dan PKPD Taman Univista, Kota Samarahan, Sarawak.

Beliau berkata PKPD di Penjara Sg. Udang dan Kuarters Kakitangan, Melaka Tengah, Melaka ditamatkan seperti jadualnya iaitu pada 2 Mac 2021 (esok).
selepas KKM mengesahkan baki kes aktif di lokaliti berkenaan menunjukkan trend penurunan serta tiada lagi penularan kes dalam kalangan tahanan dan kakitangan.

“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 1,701 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 388 kes telah direkodkan. Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, Kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD berkenaan pada 2 Mac 2021 (esok) seperti yang dijadualkan,” katanya.

Ismail Sabri berkata kerajaan juga bersetuju menamatkan PKPD Kampung Sg Maong, mengikut jadual asal pada 2 Mac 2021 (esok) berikutan tiada kes baru dilaporkan manakala semua keputusan ujian saringan Covid-19 sudah diperolehi.

“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 427 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 40 kes telah direkodkan dengan terakhir  dilaporkan adalah pada 23 Februari 2021.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, Kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di Kampung Sg Maong berkuatkuasa, esok,” katanya. – Oleh Haika Khazi

Get real time updates directly on you device, subscribe now.