ASEAN Perlu Proaktif Main Peranan Bantu Myanmar- Hishammuddin

42

1 MAC : Malaysia berpandangan bahawa ASEAN perlu memainkan peranan yang lebih proaktif bagi menyumbang ke arah pemulihan Myanmar agar negara tersebut kembali ke situasi normal dan penglibatan dua hala amat penting dalam hal ini.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, pihaknya sentiasa memberi perhatian serius terhadap situasi pengambilalihan tentera di Myanmar serta perkembangan terkini di negara berkenaan.

Menurut beliau, pengambil alihan tentera merupakan tindakan yang boleh merencatkan segala usaha yang dilakukan dalam dekad terakhir ini demi mencapai perpaduan dan kemajuan ekonomi di negara berkenaan.

“Kami menyeru pihak berkuasa Myanmar untuk menegakkan dan menghormati institusi serta proses demokrasi, kedaulatan undang-undang, kebebasan dan hak asasi manusia, termasuk hak untuk berhimpun secara aman serta kebebasan bersuara.

“Semua pihak yang relevan perlu mengelak daripada menggunakan kekerasan yang boleh menjejaskan keselamatan masyarakat serta memburukkan lagi keadaan di negara berkenaan. 

“Kami juga kesal dengan tragedi kehilangan nyawa dan kecederaan disebabkan situasi berterusan di Myanmar,” katanya menerusi kenyataan media sempena lawatan rasmi ke Brunei, hari ini. 

Dalam pada itu, Hishammuddin menegaskan amat penting untuk ASEAN mengetuai perbincangan yang telus dan berunding secara konstruktif dengan Myanmar bagi menunjukkan bahawa ASEAN efektif sebagai kumpulan serantau yang komprehensif.

“Ia perlu dalam usaha memenuhi harapan rakan luar kita serta mengelakkan tindak balas sepihak yang tidak sepatutnya sekaligus berupaya memberi kesan buruk kepada rantau ini. 

“Saya juga memberi jaminan sokongan Malaysia ke arah mengadakan Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN yang tidak rasmi minggu ini bagi membincangkan perkara ini dengan lebih lanjut,” katanya. 

Sementara itu, Hishammuddin turut merakakamkan ucapan tahniah kepada Brunei Darussalam atas kejayaan menganjurkan Pemukiman Menteri Luar Negeri ASEAN baru-baru ini yang berperanan selaku Pengerusi ASEAN bagi tahun 2021. 

“Malaysia komited untuk terus bekerjasama erat dengan Negara Brunei Darussalam dalam merealisasikan matlamat kepimpinannya, memperkasa Pembangunan Komuniti ASEAN dan berusaha untuk pulih bersama daripada wabak COVID-19. 

“Malaysia sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan Negara Brunei Darussalam terutama dalam inisiatif yang berkaitan dengan multilateralisme, kesihatan mental dan pembangunan belia, serta keamanan dan keselamatan,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.