AMMB catat untung bersih suku ketiga rendah RM263.83 juta

17

1 MAC: Keuntungan bersih AMMB Holdings Bhd bagi suku ketiga yang berakhir 31 Disember 2021 turun kepada RM263.83 juta daripada RM382.15 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun sebelumnya.

Hasil susut kepada RM2.09 bilion, turun sebanyak 2.2 peratus manakala pendapatan asas sesaham berada pada 8.77 sen daripada 12.71 sen sebelumnya.

Bagi prestasi kewangan sembilan bulannya, keuntungan bersih bank itu jatuh kepada RM866.31 juta daripada RM1.09 bilion, terjejas oleh peruntukan makro tambahan semasa tahun itu apabila ia meneruskan bantuan kewangan kepada peminjam.

Hasil turun kepada RM6.44 bilion berbanding RM7.10 bilion yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata, bank tersebut mencapai perjanjian dengan Kementerian Kewangan untuk membayar sejumlah RM2.83 bilion kepada kerajaan sebagai penyelesaian penuh dan akhir bagi tuntutan tertunggak berkaitan dengan penglibatan kumpulan itu dengan 1Malaysia Development Bhd sebelum ini dan entiti berkaitannya (penyelesaian global).

“Meskipun ini sudah tentunya akan memberi impak ketara kepada pendapatan suku keempat tahun kewangan 2021 kumpulan dan seterusnya keputusan Tahun Kewangan 2021, perlu dimaklumkan bahawa kami mempunyai penampan modal yang mencukupi untuk menyerap penyelesaian global tanpa keperluan segera untuk mengumpulkan modal ekuiti tambahan.

“Bagaimanapun, akibat daripada penyelesaian global itu, kumpulan tidak akan mencadangkan sebarang dividen akhir bagi Tahun Kewangan 2021,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kumpulan itu ingin memberi jaminan kepada pelabur dan pemegang kepentingan bahawa AMMB kekal berdaya tahan dari segi kewangan dan bersedia untuk memanfaatkan peluang akan datang dengan strategi Focus 8 yang diperbaharuinya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.