Tindakan PKR zalim, calar semangat setiakawan

336

28 FEB : Parti Amanah Negara (Amanah) Bukit Bintang menggesa pucuk pimpinan parti tersebut mengkaji semula hubungan kerjasama politik dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) susulan parti tersebut menerima tiga Adun Amanah di Johor dan dua di Selangor menyertai PKR.

Ketua Amanah Bukit Bintang, Ahmad Asri Talib dalam satu kenyataan hari ini berkata, senario ini telah mengeruhkan lagi hubungan serta mencalarkan semangat setiakawan antara parti-parti dalam Pakatan Harapan.

“Kami juga menyokong penuh kenyataan YB Salahuddin Ayub (Timbalan Presiden AMANAH) yang menyesali tindakan parti rakan PH yang menerima ADUN-ADUN AMANAH yang melompat. Tindakan ini melambangkan tiada kesepakatan dalam gabungan yang dibentuk,” tegasnya.

Ahmad Asri menambah, strategi politik parti-parti dalam PH sepatutnya berteraskan pembelaan nasib rakyat yang terkesan atas caca marba pengurusan kerajaan Perikatan Nasional yang masih tiada keabsahan, dan bukannya menzalimi sesama rakan parti dalam pakatan dalam persiapan menghadapi PRU ke-15 jika parlimen dibubarkan.

“Berdasarkan Global Corruption Barometer 2020 oleh Transparency International yang melibatkan responden seramai 20 ribu orang di 17 negara di rantau Asia, hampir sepertiga daripada responden mempunyai persepsi negatif iaitu ahli parlimen adalah mereka yang terlibat gejala rasuah.

“Justeru, kami juga menyarankan agar akta anti lompat parti dikaji dan diperhalusi bagi mengekang amalan lompat parti daripada terus menjadi barah proses demokrasi di Malaysia,”ujarnya lagi dalam kenyataan tersebut.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.