MP pembangkang sokong PN satu tamparan hebat buat PH

427

28 FEB : Tindakan dua Ahli Parlimen pembangkang yang menyatakan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan satu tamparan hebat kepada Pakatan Harapan (PH).

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, ini memandang PH selama ini sering menyatakan pada setiap masa bahawa kerajaan sudah hilang majoriti, namun sebaliknya Ahli Parlimen dari parti komponennya iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula yang kini beralih arah memberi sokongan kepada PN.

“Saya berpandangan ini menambahkan keabsahan kepada kerajaan PN dan merupakan satu tamparan hebat kepada pembangkang yang selama ini mencanangkan bahawa kerajaan sudah hilang sokongan.

“Sedangkan, apa yang berlaku, seorang demi seorang dari Ahli Parlimen pembangkang mula menyatakan sokongan kepada Kerajaan PN,” katanya kepada PN BBC Portal, hari ini.

Terdahulu, sokongan tersebut disahkan Muhyiddin menerusi laman Facebook miliknya selepas beliau mengadakan pertemuan bersama dengan dua bekas Ahli Parlimen Parti Kedilan Rakyat iaitu Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien dan Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon sebentar tadi.

Pada pertemuan tersebut, Larry Sng dan Steven Choong menyerahkan aku janji untuk menyokong kerajaan PN.

Dalam pada itu, ditanya berkenaan dakwaan kononnya Perdana Menteri terpaksa mencari Ahli Parlimen itu bagi memperkukuhkan lagi sokongan kepada kerajaan jika sidang parlimen dilaksanakan, Ahmad Fadhli berpandangan isu ini tidak perlu timbul kerana kerajaan tidak terdesak untuk melaksanakan parlimen.

Beliau yang juga merupakan Timbalan Ketua Pemuda Pas berkata, ini kerana negara masih lagi dalam keadaan proklamasi darurat dan Yang di-Pertuan Agong telah bertitah bahawa sidang parlimen boleh bersidang pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri.

“Jadi, kalau sekiranya Perdana Menteri tidak buat sidang parlimen, masih lagi sah kerana masih berada dalam proklamasi darurat dan kalau dalam keadaan biasa (selain darurat), dewan hendaklah bersidang paling kurang sekali dalam masa enam bulan tetapi tidak masa darurat.

“Apa yang dinyatakan Yang di-Pertuan Agong menyatakan bahawa sidang parlimen boleh diadakan tetapi nak buat atau tidak terpulang kepada Perdana Menteri. Jadi, Perdana Menteri tidaklah dalam keadaan terdesak untuk mendapatkan sokongan,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.