Jangan cabar keputusan Mahkamah isu seks luar tabii

73

28 FEB: Semua pihak digesa untuk menghormati dan tidak mencabar undang-undang negeri selepas penghakiman Mahkamah Persekutuan yang memutuskan undang-undang syariah mengenai seks luar tabii tidak berperlembagaan.

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan berkata, ini perlu dilakukan demi kebaikan kehidupan sosial, keharmonian agama dan budaya serta perpaduan negara.

“PAS bimbang sesuatu keputusan yang terpaksa dibuat oleh badan kehakiman atas desakan tidak wajar akan membawa kepada implikasi tidak bermanfaat kepada negara dan rakyat jelata,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Takiyuddin memberitahu, parti itu akan meneruskan usaha untuk mengharmonikan undang-undang sivil dan syariah berteraskan undang-undang lazim.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) berkata prinsip undang-undang itu mampu mewujudkan wajah baru dan dinamik kepada sistem perundangan negara.

“PAS yakin berteraskan pengiktirafan Undang-undang Syariah termasuk oleh Mahkamah British di negara ini di zaman pra-Merdeka, prinsip undang-undang tersebut mampu mewujudkan suatu wajah baru dan dinamik kepada Sistem  Perundangan Negara.

“Ini dapat dilihat dalam keputusan kes Ramah binti Ta’at vs Laton binti Malim Sutan yang diputuskan pada tahun 1927 yang mengatakan “the Mohammedan law is not a foreign but local law, that it is the law of the land”.

“Begitu juga dalam kes Fatimah binti Harrris vs. Ismail Haji Tahir yang diputuskan dalam tahun 1939, Mahkamah British pada masa itu mengatakan “that Mohammedan law is a part of the law of Johore,” katanya.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan memutuskan peruntukan undang-undang syariah Selangor yang menetapkan seks luar tabii sebagai jenayah tidak sah dan tidak berperlembagaan.

Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel sembilan hakim sebulat suara membenarkan permohonan seorang lelaki yang mencabar Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

Peruntukan itu menetapkan adalah satu kesalahan jenayah bagi umat Islam di Selangor melakukan seks di luar tabii.

Lelaki itu menghadapi tuduhan berkaitan seksyen berkenaan di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.