Hampir separuh kes baharu hari ini melibatkan bukan warganegara

23

28 FEB : Hampir separuh kes jangkitan COVID-19 baharu yang dikesan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini melibatkan bukan warganegara iaitu sebanyak 1,209 kes, manakala sebanyak 1,226 kes pula melibatkan warganegara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham berkata, daripada jumlah keseluruhan kes harian baharu sebanyak 2,437, dua kes merupakan kes import yang melibatkan seorang warganegara dan seorang bukan warganegara.

“Ini menjadikan kes kumulatif jangkitan COVID-19 di negara ini mencecah 300,752 kes, manakala kes aktif dengan kebolehjangkitan pula ialah sebanyak 26, 205 kes.

“Negeri Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 914 kes (37.5 peratus). Daripada jumlah ini, sebanyak 823kes (90.0 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan.Ini diikuti oleh Johor sebanyak 340 kes (14.0 peratus) dan Perak sebanyak 337 kes (13.8 peratus).

“Sebanyak 85 kes (3.5 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara yang membabitkan Kluster Tembok Tapah (77 kes), Kluster Tembok Taiping (3 kes), Kluster Tembok Sungai Udang (2 kes), Kluster Penjara Jalan Sungai Jelok (2 kes), dan Kluster Penjara Jalan Harapan (1 kes),” ujarnya menerusi satu kenyataan harian COVID-19 hari ini.

Manakala jumlah kes sembuh hari ini pula menurut Dr Noor Hisham terus mengatasi jumlah kes baharu iaitu sebanyak 3,251 kes menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh kini sebanyak 273, 417 kes.

“Terdapat sebanyak 202 kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan sebanyak 93 kes pula memerlukan bantuan pernafasan.

“Dukacita dimaklumkan terdapat sembila kes kematian yang direkodkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian adalah sebanyak 1,130 kes.

“Kes-kes kematian pada hari ini melibatkan tiga kes di  Selangor, dua di Sarawak, serta masing-masing satu  kes di Melaka, Kelantan, Perak dan Johor. Sebanyak lapan (8) kes melibatkan warganegara dan satu  kes bukan warganegara,” ujarnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.