4 Pelan Pemerkasaan KRT dengan kerjasama kementerian, agensi

47

28 DIS : Empat Pelan Pemerkasaan Kepimpinan Komuniti Rukun Tetangga (KRT) 2021 akan dilaksanakan untuk memperkukuh dan memperkasakan peranannya di peringkat akar umbi menerusi kerjasama pihak kementerian dan agensi-agensi yang berkaitan.

Justeru, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan empat agenda untuk memperkasakan KRT yang mampu meningkatkan keberkesanan dalam pelaksanaannya.

Menurut beliau, pertamanya adalah Agenda Kerja KRT Selamat yang mana akan digerakkan melalui Skim Rondaan Sukarela (SRS) yang berperanan untuk meronda dan mengawal mana-mana premis atau lokasi di Kawasan Rukun Tetangga dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kedua, Agenda Kerja KRT Sihat yang akan memberi penekanan kepada usaha membudayakan gaya hidup sihat dalam komuniti hasil kolaborasi bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui program di bawah Agenda Nasional Malaysia Sihat.

“Manakala yang ketiga pula ialah Agenda Kerja KRT Bersih dan Indah pula menumpukan kepada program pembersihan dan pengindahan di kawasan komuniti dengan sokongan Kementerian Pembangunan Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Dan yang terakhir adalah Agenda Kerja KRT Sejahtera untuk mengenal pasti kumpulan rentan seperti ibu tunggal, golongan kelainan upaya, warga emas, golongan kurang berkemampuan dan memberi bantuan kepada mereka melalui pelaksanaan inisiatif seperti Projek Ekonomi Rukun Tetangga dan Program Sayangi Komuniti,” ujarnya.

Muhyiddin berkata demikian pada Majlis Pelancaran Pelan Pemerkasaan Kepimpinan Komuniti Rukun Tetangga 2021-2030 dan Anugerah Perdana Rukun Tetangga secara siaran langsung di media sosial, hari ini.

Sementara itu, beliau menyeru rakyat agar terus mendokong peranan Rukun Tetangga sebagai agen dan penggerak usaha untuk menyatupadukan rakyat.

Justeru itu, beliau menggesa agar orang ramai bersama-sama mengenal pasti keperluan komuniti dan menangani isu-isu sosial di kawasan setempat untuk melahirkan sebuah komuniti yang sejahtera.

“Saya berharap semangat kesukarelawanan ini dapat terus diperkasakan melalui penglibatan bersama Rukun Tetangga, Persatuan Penduduk, NGO-NGO, pemimpin komuniti serta generasi muda dalam aktiviti kemasyarakatan supaya ia dapat dibudayakan dalam komuniti kita.

“Marilah kita berganding bahu dan menggembleng tenaga dalam menjayakan usaha murni ini supaya negara kita dapat merealisasikan agenda perpaduan nasional,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.