Tiada tekanan NPRA, PBKD luluskan vaksin Covid-19

33

26 FEB: Kerajaan memberi jaminan tiada tekanan diberikan kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) di bawah Kementerian (KKM) untuk meluluskan sebarang penggunaan vaksin Covid-19.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata, beliau atau mana-mana menteri kabinet atau perdana menteri sekali pun tidak akan memberi tekanan kepada NPRA dan PBKD untuk meluluskan penggunaan mana-mana vaksin Covid-19 bagi memastikan rakyat berpuas hati dan yakin untuk mengambil suntikan imunisasi terbabit.

KHAIRY

Khairy yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19, berkata beliau yakin NPRA dan PBKD hanya akan meluluskan penggunaan vaksin Covid-19 sekiranya ia benar-benar selamat dan mempunyai keberkesanan melebihi 50 peratus seperti ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Sebagai contoh, Khairy berkata walaupun vaksin Sinovac keluaran syarikat farmasuetikal Sinovac Lifesciences Co Ltd (Sinovac) dikatakan mempunyai keberkesanan antara 50 hingga 90 peratus berdasar penggunaannya di Brazil, Hong Kong, Indonesia, Eropah dan Singapura, namun kelulusan penggunaannya masih tertakluk kepada kelulusan NPRA dan PBKD.

“Sebab itulah kalau ditanya bila saya sendiri tidak tahu bila vaksin Sinovac atau vaksin Covid-19 keluaran syarikat lain akan diluluskan NPRA dan PBKD saya tidak tahu kerana mereka bebas untuk menjalankan kajian bagi memastikan ia benar-benar selamat dan berkesan untuk diberikan kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media secara maya selepas menerima penghantaran kumpulan pertama pembelian pukal 200 liter vaksin Sinovac keluaran syarikat farmasuetikal China, Sinovac Lifesciences Co Ltd (Sinovac) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, hari ini.

Mengulas lanjut, Khairy berkata penghantaran 200 liter cecair vaksin Covid-19 Sinovac yang tiba di Malaysia dari China hari ini adalah pembelian secara pukal bukannya produk yang sudah siap sedia dibotolkan dalam bebuli dan boleh diberikan terus kepada golongan sasar.

Katanya, vaksin Sinovac yang berjumlah 200 liter diterima hari ini akan dihantar ke kilang Pharmaniaga di Puchong untuk diproses menjadi 300,000 dos untuk mendapatkan kelulusan NPRA dan PBKD.

“Proses kelulusan bagi vaksin Sinovac ini merangkumi dua peringkat iaitu pertama kelulusan untuk vaksin itu sendiri dan kedua kelulusan proses penggilangan di Pharmaniaga sebelum penggunaan diluluskan oleh NPRA dan PBKD.

“Jika diluluskan NPRA dan PBKD, syarikat Pharmaniaga Bhd mampu mengeluarkan dua juta dos vaksin Sinovac, setiap bulan bagi menjamin aspek bekalan pelalian yang stabil di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, tindakan itu perlu kerana Malaysia menyasarkan untuk memperoleh 14 juta dos vaksin Sinovac berperingkat mulai hari ini bagi melindungi 22 peratus penduduk di Malaysia, pada masa depan. – Oleh Haika Khazi

Get real time updates directly on you device, subscribe now.