Tan Sri, Datuk Seri jadi dalang sindiket edar dadah

107

27 FEB: Polis Diraja Malaysia (PDRM)mengenal pasti beberapa kenamaan mempunyai gelaran Tan Sri dan Datuk Seri dipercayai menjadi dalang utama sindiket pengedaran dadah di negara ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Hamid Abdul Hamid Bador berkata, sindiket berkenaan yang dikesan mempunyai rangkaian hebat, berselindung di sebalik perniagaan sah serta hidup mewah itu bagaimanapun, sukar untuk mengaitkan mereka dengan kegiatan dadah.

ABDUL HAMID

“Jika selama ini, setiap kali rampasan besar mencecah jutaan ringgit, hanya individu bawahan sahaja diusik, sedangkan rangkaian utama yang berada di atas tidak terjejas.

“Bagaimanapun, polis sekarang akan mengambil pendekatan berbeza walaupun status mereka bergelar Tan Sri dan Datuk Seri, tetapi sudah tiba masanya mereka dibawa ke muka pengadikan kerana sudah merosakkan ribuan rakyat Malaysia dengan kemasukan dadah,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli, Kelantan hari ini.

Dalam perkembangan lain, Abdul Hamid melahirkan kebimbangan dan memandang serius mengenai kes penyalahgunaan dadah dalam kalangan anggota dan pegawai PDRM sekarang.

Berikutan itu, Abdul Hamid berkata mereka yang terbabit dengan penyalahgunaan dadah serta jenayah lain tidak akan dilindungi dan tidak akan terlepas daripada hukuman.

“Walaupun pelbagai amaran dan nasihat sudah diberikan kepada pasukan untuk menyedarkan mereka, hingga kini ramai yang masih degil.

“Baru-baru ini, enam individu termasuk seorang pegawai polis ditahan sedang berhibur sambil mengambil dadah. Saya ingatkan, …tiada maaf lagi untuk kesalahan sebegini kerana perbuatan ini amat tidak bertanggungjawab.

“Saya sudah arahkan supaya siasatan lanjut dilakukan supaya mereka tidak terlepas dan akan akan pastikan mereka dihukum,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.