Program imunisasi bukan tiket rakyat tidak hirau SOP – Dr. Noor Hisham

22

27 FEB: Pelancaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Rabu lalu, bukan tiket untuk rakyat Malaysia leka dan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, sebelum ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata meskipun aktiviti imunisasi COVID-19 Fasa 1 telah mula dilaksanakan namun segala aktiviti dan kepatuhan kepada tindakan kesihatan awam wajar diteruskan.

Menurutnya, ini termasuk kawalan sempadan antarabangsa, pelaksanaan pelbagai SOP, aktiviti ujian dan saringan COVID-19 sama ada saringan di lapangan, pengesanan kontak rapat, pengasingan kes yang disyaki dan dijangkiti serta lain-lain tindakan kesihatan awam oleh pelbagai agensi.

Beliau berkata, impak tindakan-tindakan ini akan dinilai dari semasa ke semasa dan kemudiannya akan dibincangkan bersama oleh kerajaan semasa Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Antara indikator utama yang digunakan dalam penilaian risiko ini adalah, situasi semasa kes harian COVID-19; tren dan nilai semasa R-Naught (Rt); tren dan situasi semasa kematian COVID-19; situasi penggunaan katil untuk kes COVID-19 (di PKRC, hospital, katil ICU dan kes ventilated); situasi semasa petugas kesihatan yang dijangkiti COVID-19; aktiviti ujian makmal dan survelan COVID-19 (RT-PCR dan RTK Antigen).

“Keputusan untuk membenarkan pergerakan merentas negeri atau daerah misalnya adalah bergantung kepada penilaian beberapa faktor ini dan ianya memerlukan keputusan bersama pihak kerajaan.

“Buat masa ini, tindakan kawalan kesihatan awam masih perlu diteruskan di samping memastikan program imunisasi berjalan lancar. Oleh itu adalah penting bagi semua pihak (termasuk mereka yang telah menerima vaksin) untuk mematuhi sepenuhnya SOP sehingga imuniti kelompok tercapai,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, Dr Noor Hisham mengesahkan kadar kes kematian akibat penularan Covid-19 hari ini menurunkan kepada 10 kes iaitu lapan rakyat tempatan dan dua warga asing menjadikan jumlah kumulatif mangsa maut akibat wabak berkenaan di Malaysia adalah 1,121 kes atau 0.38 peratus.

Dr Noor Hisham berkata,  jumlah kes sembuh hari ini iaitu 3,320 kes adalah lebih tinggi berbanding kes baharu Covid-19 sebanyak 2,364 kes sekali gus menjadikan bilangan kes sembuh keseluruhannya kepada 270,166 kes atau 90.6 peratus.

Jelasnya, pertambahan 2,364 kes baharu berkenaan menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 Malaysia setakat hari ini adalah 298,315 kes termasuk 27,028 kes aktif  dengan kebolehjangkitan, 190 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 99 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Negeri Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 862 kes (36.5 peratus). Daripada jumlah ini, sebanyak 704 kes (81.7 peratus) adalah daripada klusterkluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan. Ini diikuti oleh Johor sebanyak 314 kes (13.3 peratus) dan Perak sebanyak 305 kes (12.9 peratus).

“Sebanyak 52 kes (2.2 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara yang membabitkan Kluster Tembok Tapah (29 kes), Kluster Tembok Pengkalan Chepa (13 kes), Kluster Penjara Seberang Perai (4 kes), Kluster Tembok Mempaga (3 kes), Kluster Tembok Bukit Besi (1 kes), Kluster Telok Mas (1 kes), dan Kluster Tembok Taiping (1 kes),” katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, kes kematian pada hari ini melibatkan enam kes di Kuala Lumpur, dua kes di Selangor, serta masing-masing satu kes di Johor dan Sarawak.

“Sebanyak lapan kes melibatkan warganegara dan dua kes bukan warganegara. KKM mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka,” katanya. – Oleh Haika Khazi

Get real time updates directly on you device, subscribe now.