Pejabat Kerajaan cetus Kluster Kampung Pulau Raja di Kelantan

155

27 FEB: Sebuah pusat pentadbiran kerajaan di Jalan Sultan Yahya Petra, Kota Bharu, Kelantan dikesan menjadi pencetus utama kepada Kluster Kampung Pulau Raja iaitu salah satu daripada tujuh kluster tempat kerja direkodkan Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini, manakala satu lagi Kluster Buloh membabitkan jangkitan dalam komuniti Selangau di Sarawak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata Kluster Kampung Pulau Raja membabitkan daerah Kota Bharu di Kelantan.

Beliau berkata kes indeks dalam kluster ini (iaitu kes ke-266367) dilaporkan positif COVID-19 pada 15 Februari 2021 hasil saringan individu bergejala.

NOOR HISHAM

“Kluster ini melibatkan sebuah pusat pentadbiran awam yang terletak di Jalan Sultan Yahya Petra, Kota Bharu. Nama kluster merujuk kepada lokaliti penularan kes-kes yang dilaporkan berlaku iaitu di Kampung Pulau Raja, Kota Bharu.

“Sehingga 27 Februari 2021, sejumlah 255 individu telah disaring, di mana 60 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata dengan pertambahan lapan kluster baharu hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kluster Covid-19 di Malaysia sekarang adalah 1,129 kluster termasuk 644 kluster sudah tamat dan 485 masih aktif dengan kadar kebolehjangkitan tinggi.

Beliau berkata, 16 kluster yang tamat pada hari ini iaitu Kluster Symphony Magazine, Kluster Hujung Pasir, Kluster Serkam Tengah, Kluster Rungkup, Kluster Jalan Skudai, Kluster Orion, Kluster Bayu Tampoi, Kluster Permint Harmoni, Kluster Tengah Tiga, Kluster Jalan Ketengah, Kluster Tapak Bina Persiaran Tecoma, Kluster Jalan Trompet, Kluster Jalan Sempadan, Kluster Tapak Bina Era Duta, Kluster Jalan Riang, dan Kluster Bukit Batu Grisek).

“Jumlah kluster dengan pertambahan kes baharu pada hari ini adalah 85 kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalah Kluster Jalan Tasek Avenue (209 kes), Kluster Jalan Sebelas (170 kes), dan Kluster Sinsingon (67 kes),” katanya.

Perincian tujuh lagi kluster baharu dikenal pasti KKM hari ini:

Kluster Jalan Tampoi Besi

Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Johor Bahru di Johor. Kes-kes dalam kluster ini dilaporkan positif COVID-19 bermula pada 23 Februari 2021 hasil saringan bersasar pekerja-pekerja sebuah kilang yang terletak di Jalan Tampoi 7, Kawasan Perindustrian Tampoi, Johor Bahru. Sehingga 27 Februari 2021, sejumlah 136 individu telah disaring, di mana 40 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

Kluster Jalan Permas Sembilan

Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Johor Bahru di Johor. Kes indeks dalam kluster ini (iaitu kes ke-287215) dilaporkan positif COVID-19 pada 23 Februari 2021 hasil saringan sebelum pulang ke negara asal. Kluster ini melibatkan sebuah kilang yang terletak di Jalan Permas 9/16, Bandar Baru Permas Jaya, Johor Bahru. Sehingga 27 Februari 2021, sejumlah 32 individu telah disaring, di mana 20 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

Kluster Jalan Gemilang Satu

Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Johor Bahru di Johor. Kes-kes dalam kluster ini dilaporkan positif COVID-19 pada 27 Februari 2021 hasil saringan bersasar pekerja-pekerja sebuah kilang yang terletak di Jalan Gemilang 1, Taman Perindustrian Cemerlang, Ulu Tiram. Sehingga 26 Februari 2021, sejumlah 44 individu telah disaring, di mana 15 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

Kluster Jalan Mega Teknologi

Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Johor Bahru di Johor. Kes-kes dalam kluster ini dilaporkan positif COVID-19 pada 27 Februari 2021 hasil saringan bersasar pekerja-pekerja sebuah kilang yang terletak di Jalan Mega 1/7, Taman Perindustrian Nusa Cemerlang, Nusajaya. Sehingga 27 Februari 2021, sejumlah 46 individu telah disaring, di mana 14 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

Kluster Jalan Scientex Jaya

Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Kulai di Johor. Kes indeks dalam kluster ini (iaitu kes ke-294687) dilaporkan positif COVID-19 pada 26 Februari 2021 hasil saringan individu bergejala. Kluster ini melibatkan pekerja-pekerja sebuah kilang yang terletak di Jalan Seelong, Senai. Nama kluster merjuk kepada lokaliti asrama pekerja-pekerja kilang yang terletak di Jalan Scientex Jaya 18, Taman Scientex, Senai. Sehingga 27 Februari 2021, sejumlah 119 individu telah disaring, di mana 13 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

Kluster Jalan Tasik Avenue

Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Kinta di Perak. Kes-kes dalam kluster ini dilaporkan positif COVID-19 bermula pada 26 Februari 2021 hasil saringan bersasar pekerja-pekerja sebuah kilang yang terletak di Jalan Tasek Avenue, Tasek Industrial Estate, Ipoh. Sehingga 27 Februari 2021, sejumlah 524 individu telah disaring, di mana 211 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

Kluster Buloh

Kluster komuniti ini melibatkan daerah Selangau di Sarawak. Kes indeks dalam kluster ini (iaitu kes ke-285577) dilaporkan positif COVID-19 pada 22 Februari 2021 hasil saringan individu bergejala. Nama kluster merujuk kepada tempat kediaman kes indeks iaitu di Kampung Sungai Buloh, Selangau, Sibu. Sehingga 27 Februari 2021, sejumlah 68 individu telah disaring, di mana 28 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.