KWSP peruntukan RM18.1 bilion jelas bayaran i-Lestari

21

27 FEB: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperuntukan RM18.1 bilion untuk menjelaskan bayaran kepada 5.16 juta ahlinya menerusi Skim Pengeluaran Akaun 2 i-Lestari.

Pengerusinya, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir, berkata KWSP bertindak balas terhadap pandemik COVID-19 pada tahun 2020 dengan melaksanakan beberapa langkah awal untuk membantu ahli dan majikan menangani masalah aliran tunai, berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac hingga 12 Mei 2020 ketika kebanyakan sektor ekonomi terpaksa ditutup.

AHMAD BADRI

Beliau berkata, KWSP adalah antara dana persaraan terawal di dunia yang memberikan bantuan kepada ahlinya ketika COVID-19 merebak dengan melancarkan Skim Pengeluaran Akaun 2 i-Lestari untuk memberi bantuan kewangan kepada ahli.

Katanya, KWSP juga melaksanakan beberapa langkah lain untuk membantu meringankan beban aliran tunai pencarum termasuk membenarkan ahli mengurangkan caruman wajib mereka daripada 11 peratus kepada tujuh peratus berkuatkuasa April 2020 hingga Disember 2020.

“Bagi memastikan majikan dapat menampung kos dan terus mengekalkan pekerja mereka, KWSP telah menawarkan Program Bantuan Majikan COVID-19 (e-CAP), yang ditujukan khusus untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“e-CAP memberi fleksibiliti kepada PKS yang layak untuk memohon penangguhan dan penstrukturan semula caruman majikan dan sebanyak 13,090 majikan telah memanfaatkan kemudahan ini dengan jumlah kumulatif RM84.95 juta.

“Program ini diperkenalkan untuk membantu PKS menguruskan aliran tunai mereka dan juga untuk memenuhi kewajipan membayar sebahagian caruman KWSP mereka,” katanya dalam satu kenyataan media sini hari ini.

Beliau berkata KWSP bertindak proaktif bagi menyesuaikan diri dengan realiti baharu melalui perkhidmatan berasaskan ‘Kurangkan Sentuhan, Lebihkan Penjarakan’ dengan pengenalan Janji Temu Online (JTO) bagi memastikan keselamatan pekerja dan ahli,

“Melalui JTO, KWSP memastikan langkah penjarakan fizikal dan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi dengan ketat sementara jumlah pengunjung dikurangkan di setiap cawangan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata KWSP kekal berwaspada dalam pelaburannya pada tahun ini, meskipun penularan pandemik COVID-19 kelihatan semakin terkawal dengan adanya vaksin.

Mengulasnya, Ahmad Badri berkata meskipun pemberian vaksin dilancarkan pada tahun ini, pihaknya tetap berjaga-jaga kerana terdapatnya ‘strain’ COVID-19 yang baharu dan lebih mudah merebak.

Bagaimanapun, katanya, KWSP yakin situasi kini sudah mula terkawal dengan kerajaan setiap negara berusaha memastikan rakyat mereka mendapat vaksin selancar mungkin.

“KWSP sudah menjangkau usia 70 tahun dan adalah antara institusi dana persaraan tertua di dunia. Kami akan tetap memberi tumpuan kepada mandat kami iaitu membantu ahli mencapai simpanan yang mencukupi untuk persaraan yang mapan.

“KWSP juga akan memulakan skim pengeluaran baharu untuk membolehkan ahli membeli produk insurans atau Takaful, seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2021. Skim ini dijadualkan untuk dilancarkan pada akhir tahun ini.”

“Selain itu, KWSP juga adalah pelabur institusi pertama yang mewujudkan mandat pelaburan langsung / pelaburan bersama Ekuiti Persendirian patuh Syariah terbesar di dunia, dengan pelancaran Akaun Terurus Berasingan, bernilai AS$600 juta.

“Ini adalah berita baik untuk dana Simpanan Syariah KWSP, yang mana baki simpanan ahli telah melepasi nilai RM100 bilion dan terus berkembang secara berterusan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.