Zulkifli: hormati keputusan mahkamah berhubung kes seks luar tabii

60

27 FEB: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),  Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menggesa semua pihak menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengetepikan undang-undang Syariah Selangor yang menetapkan seks di luar tabii sebagai jenayah, baru-baru ini.

Pada masa sama, Zulkifli berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan bagi melihat ruang penambahbaikan dalam undang-undang syariah, terutama berkenaan kesalahan jenayah syariah.

“Saya menyeru agar semua umat Islam di negara ini dan seluruh rakyat Malaysia menghormati penghakiman yang diputuskan dan tidak mencetuskan spekulasi daripada penghakiman tersebut.

“Semua pihak diminta bertenang dan tidak memberikan ulasan atau pandangan yang boleh mencetuskan suasana yang tidak sihat, serta boleh menjejaskan perpaduan dan keharmonian dalam negara kita yang tercinta ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 25 Februari lalu, barisan panel hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membenarkan cabaran undang-undang seorang lelaki terhadap Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang berhubung kesalahan seks luar tabii.

Penghakiman antara lain menyebut seksyen tersebut belum secara sah digubal oleh badan perundangan negeri Selangor, selain perkara yang dibahas dalam seksyen tersebut hanya boleh digubal melalui Parlimen.

Tengku Maimun juga berkata, kuasa membuat undang-undang badan perundangan negeri tertakluk kepada perkara yang disenaraikan dalam Perkara 1 dari Senarai Negeri Perlembagaan Persekutuan,dan hal berkaitan dengan seks di luar tabii adalah sesuatu yang sudah terkandung dalam Senarai Persekutuan.

Zulkifli berkata, dia telah berbincang dengan penasihat undang-undang Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berhubung kesan dan implikasi keputusan tersebut.

“Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil Jakim juga telah diarahkan untuk bersidang dan berbincang bagi melihat ruang penambahbaikan undang-undang syariah yang boleh dilaksanakan, khususnya yang berkenaan dengan kesalahan jenayah syariah.

“Jawatankuasa tersebut akan berunding dengan negeri-negeri dan pihak yang berkepentingan dalam usaha untuk memperkasakan dan menyeragamkan undang-undang syariah di Malaysia,” katanya.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata penghakiman tersebut dibuat berdasarkan ‘pengetahuan, pengalaman dan kebijaksanaan’ panel hakim berpandukan Perlembagaan Persekutuan.

Pada masa sama, dia membangkitkan Fasal (1) Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan berhubung kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

“Sebagai seorang Menteri yang dipertanggungjawabkan menjaga hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan, prinsip Perlembagaan ini akan terus dijunjung dan dipertahankan,” tambahnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.