Boh Man Sing tular langgar dua kenderaan ditahan polis

54

27 FEB: Seorang lagi suspek dikenali sebagai Bob Mah Sing yang terbabit dengan kes merempuh dua kenderaan di lampu isyarat Sierramas, Sungai Buloh, Selangor yang tular di media sosial berjaya ditahan polis malam tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata,  suspek kedua berusia 40 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Shah Alam kira-kira jam 11.45 malam malam tadi.

NIK EZANEE

Terdahulu, polis menahan seorang daripada suspek yang berusia 35 tahun di sebuah kawasan perumahan di Desa Aman hasil maklumat orang awam dan sedang memburu Bob Mah Sing yang berjaya melarikan diri.

“Siasatan mendapati suspek tidak bekerja dan mempunyai 20 rekod jenayah lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.

“Suspek yang dikenali sebagai Bob Mah Sing yang diburu pihak polis semalam selepas melarikan diri Berjaya ditahan pada jam 11.45 malam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Nik Ezanee berkata, kedua-dua suspek yang terbabit dalam kejadian itu akan direman hari ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 307, 427 dan 188 Kanun Keseksaan, selain Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan Senjata Berbahaya 1958,” katanya.

Semalam, tular satu video berdurasi satu minit 45 saat menunjukkan anggota polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar kenderaan itu selepas suspek enggan memberhentikan kereta.

Kenderaan bernombor pendaftaran MAS 175 itu dilihat melanggar bahagian belakang lori dan sisi kereta Perodua Myvi untuk mencelah di persimpangan lampu isyarat berkenaan dalam cubaan melarikan diri daripada ditahan polis.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.