Tentera terlibat misi luar negara kumpulan pertama terima vaksin

31

26 FEB: Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertugas di kawasan operasi dan di luar negara adalah antara kumpulan pertama penerima vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech dalam kalangan pasukan keselamatan itu.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob berkata, anggota ATM terbabit yang sedang dan akan bertugas di kawasan operasi seperti Op Benteng, Op Penawar, misi pengaman Pasukan Tentera Sementara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (Unifil) dan Pasukan Pemerhati Antarabangsa di Mindanao di bawah tentera darat, laut serta udara.

“Sebagai contoh vaksin ini akan diberi kepada anggota yang bertugas di Op Benteng kerana mereka ini menjaga sempadan dan perairan negara serta berhadapan dengan pendatang tanpa izin.

“Selain itu, vaksin ini juga akan diberikan kepada Kumpulan Pemerintahan Strategik dan Operasi di Markas ATM, Kementerian Pertahanan, Markas Angkatan Bersama, markas-markas formasi tentera darat, laut dan udara terutamanya bagi mereka yang bertugas di bilik operasi dan bilik komunikasi markas-markas itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Wangsa Maju di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut menerima suntikan pada hari ketiga Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan ialah Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Muez Abd Aziz.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan Sri Affendi Buang, Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dan Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Ackbal Abdul Samad turut menerima suntikan vaksin terbabit hari ini.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, pemberian vaksin Fasa 1 itu juga disasarkan kepada pegawai dan anggota ATM yang terlibat mengoperasikan aset pertahanan strategik negara antaranya pesawat pejuang, pesawat pengangkut, kapal-kapal tentera laut, juruterbang helikopter tentera darat, laut dan udara serta anggota pasukan khas.

Ismail Sabri berkata 14 pegawai dan anggota ATM dan PDRM yang terlibat dengan Misi Pemantau Antarabangsa Mindanao akan turut divaksin dan akan berlepas ke selatan Filipina selepas menerima dos kedua mereka pada Mac depan.

“Di samping itu, seramai 40 orang anggota Kumpulan Wanita Kedua ATM bagi Misi Unifil akan menerima vaksin esok sebagai sebahagian dari program pelindungan kesihatan sebelum bertugas di Lubnan,” katanya.

Mengulas mengenai warga ATM yang sedang bertugas di misi pengaman di Lubnan sama ada mereka menerima vaksin ini atau sebaliknya, Ismail Sabri berkata, ATM telah menerima tawaran suntikan vaksinasi dari pihak Unifil.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.