Sesi petang peperiksaan SPM dilewatkan 15 minit mulai Isnin

17

26 FEB : Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi satu kenyataan malam ini mengumumkan waktu bermula sesi petang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 telah dipinda dari pukul 2 kepada 2.15 petang, berkuat kuasa Isnin ini hingga peperiksaan itu tamat pada 25 Mac depan.

KPM dalam kenyataan itu berkata, lanjutan 15 minit itu bertujuan memberi ruang dan keselesaan kepada calon SPM berehat, makan serta menunaikan solat sementara menunggu waktu peperiksaan sesi petang.

“Sehubungan itu, Lembaga Peperiksaan KPM memohon semua pihak terbabit peperiksaan SPM 2020 termasuk calon, ibu bapa, petugas peperiksaan, pihak sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk ambil perhatian serta tindakan berkaitan.

“Pindaan ini dibuat demi kepentingan dan kebajikan calon bagi memastikan kelancaran pengurusan peperiksaan mengikut prosedur operasi standard (SOP)ditetapkan,” ujarnya.

Seramai 401,105 calon SPM 2020 menduduki peperiksaan itu bermula Isnin lalu, manakala 48,014 petugas peperiksaan dilantik untuk bertugas di 3,310 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.