Polis berkas seorang daripada dua suspek langgar lori, Myvi

171

26 FEB: Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal mengesahkan penahanan seorang daripada dua suspek menaiki Proton Waja yang melanggar lori dan Perodua Myvi di persimpangan lampu isyarat Sierramas petang tadi.

Suspek lelaki tempatan berusia 30-an itu ditahan kira-kira empat jam setelah kejadian tersebut hasil tindakan pantas pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya sekitar jam 4 petang tadi.

“Hasil maklumat orang awam, suspek yang merupakan seorang lelaki tempatan berumur 35 tahun berjaya ditahan oleh sepasukan polis dari IPD Petaling Jaya di akwasan perumahan Desa Aman, lebih kurang satu kilometer dari lokasi kereta yang ditinggalkannya.

“Semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai lapan rekod polis berhubung kes penyalahgunaan dadah. Tindakan pantas IPK Selangor dan Unit Anjing Pengesan (K9) berjaya mengesan dadah jenis heroin yang dijumpai dalam kereta yang ditinggalkan suspek.

“Suspek ditahan untuk siasatan lanjut dan kes akan disiasat di bawah seksyen 307, 427, 188 Kanun Keseksaan, Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 6 (1) Akta bahan kakisan dan letupan senjata berbahaya 1958,” ujar Nik Ezanee menerusi satu kenyataan hari ini.

Katanya lagi, pihak polis kini sedang giat mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas dikenali sebagai ‘Bob Mah Sing’ berusia di sekitar umur 40-an.

Gambar suspek yang masih bebas

Difahamkan, pihak polis menahan kenderaan yang dinaiki dua lelaki yang mempunyai rekod lampau berkaitan dadah itu ekoran dilihat dalam keadaan mencurigakan selepas memandu dari kampung Desa Aman menghala ke bulatan Sierramas.

Terdahulu, kira-kira jam 12.45 tengahari Pusat Kawalan IPD Gombak menerima maklumat sebuah kereta jenis Proton Waja enggan bekerjasama dengan pihak di sebuah lampu isyarat berhampiran bulatan Sierramas lalu bertindak untuk melarikan diri dengan merempuh sebuah lori dan sebuah perodua Myvi.

Tindakan berani suspek itu yang tular di media sosial hari ini memaksa pihak polis melepas beberapa das tembakan ke dua-dua tayar hadapan kenderaan tersebut, namun tidak dapat menyekat suspek daripada melarikan diri.

Suspek kemudianya melarikan diri ke arah jalan Sungai Buloh- Kuala Selangor sebelum meninggalkan kereta di tepi jalan kerana tayar bocor tidak jauh dari tempat kejadian.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.