Polis kompaun 64,651 individu langgar SOP tahun lalu

37

26 FEB: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengeluarkan kompaun kepada 64,651 individu kerana melakukan kesalahan dan ingkar prosedur operasi standard (SOP) sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 1.0 (PKP) sehingga 31 Disember lalu.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, daripada jumlah berkenaan 30,921 ditahan, 3,460 direman dan 23,012 kes lagi didakwa di mahkamah kerana melakukan pelbagai kesalahan melanggar SOP dan PKP.

HAMZAH

“Dalam tempoh sama, seramai 101,000 anggota dan pegawai penguatkuasa di bawah KDN termasuk Jabatan Imigresen (JIM), Jabatan Sukarelawan (RELA), Jabatan Penjara, ESSCOM dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) terbabit dengan pelbagai operasi pematuhan dan sekatan jalan raya (SJR) sepanjang PKP tahun lalu.

“Dari pengurusan dan penahanan pula KDN sudah mengambil langkah proaktif dengan mewartakan 11 penjara sementara dan dalam perancangan untuk menggunakan lima kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) untuk menempatkan pesalah ringan dan mereka yang ingkar PKP,” katanya ketika berucap dalam program Amanat Menteri Dalam Negeri 2021 yang disiarkan secara langsung secara maya sebentar tadi.

Sementara itu Hamzah berkata, Pasukan Polis Marin (PPM), Pasukan Gerakan Am (PGA), Cawangan Perisikan dan Siastan Khas (CPSK) PDRM yang melaksanakan 2,000 operasi membabitkan kes penyeludupan migran dan khazanah negara berjaya merampas pelbagai barangan bernilai RM225.6 juta pada tahu lalu.

Dalam pada itu, tambahnya, KDN dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi Jabatan Imigresen (JIM) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) telah melaksanakan Pelan Rekalibrasi iaitu Program Rekalibrasi Pulang dan Rekalibrasi Kerja bagi aspek pengurusan pendatang tanpa izin (PATI).

“Pelan Rekalibrali PATI ini bertujuan untuk merekodkan data PATI dan mengekang penularan wabak Covid-19 dalam kalangan warga asing, di samping merancakkan semula sektor ekonomi terjejas akibat pandemik 2020.

“JIM mempergiatkan usaha mengekang kegiatan majikan mengaji PATI. Sehingga 31 Disember 2020, sebanyak 6,634  operasi ke warga asing dilakukan JIM ke atas PATI telah dilaksanakan dan seramai 22,522 PATI dan 387 majikan ditahan.

“Ini menunjukkan kerajaan tidak pernah berkompromi dalam isu PATI dalam membendung penularan wabak Covid-19. Selain itu, JIM juga memberikan perhatian terhadap usaha membenteras sindiket berkaitan PATI dan jenayah rentas sempadan,” katanya.

Selain itu, Hamzah berkata, kerajaan juga membatalkan perkhidmatan Sistem Maklumat Pendaftaran Pelancong Elektronik (e-NTRI), iaitu kemudahan kemasukan tanpa visa yang diberikan kepada pelawat dari China dan India berkuat kuasa serta merta bagi mengawal risiko penyebaran wabak Covid-19 di Malaysia.

Hamzah berkata kerajaan juga akan meneruskan sekatan kemasukkan pelancong dan warga asing dari negara berisiko tinggi.

“Perkara ini adalah salah satu dasar penting bagi mengawal kemasukan warga asing dan penularan wabak Covid-19 ke Malaysia, pada masa depan,” katanya. – Oleh Haika Khazi

Get real time updates directly on you device, subscribe now.