PKPB seluruh Sarawak dilanjutkan hingga 15 Mac ini

29

26 FEB: Kerajaan mengumumkan pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negeri Sarawak mulai 2 hingga 15 Mac nanti.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebelum ini kerajaan mengumumkan bahawa pelaksanaan PKPB di seluruh negeri Sarawak yang dijadualkan tamat pada 1 Mac 2021.

Katanya, pelanjutan tempoh PKPB dibuat selepas laporan Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan kadar jangkitan kes Covid-19 di Sarawak ketika ini masih tinggi.

“Berdasarkan penilaian risiko yang telah dilaksanakan oleh  masih berlaku peningkatan kes di seluruh negeri dengan sebanyak 2,623 kes telah direkodkan dalam tempoh 14 hari bermula 12 sehingga 25 Februari 2021.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, kerajaan bersetuju untuk melanjutkan PKPB di seluruh negeri Sarawak bermula 2 Mac sehingga 15 Mac 2021,” katanya dalam satu kenyataan di sini, sebentar tadi.

Mengulas lanjut, beliau mengesahkan bahawa kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dikuatkuasakan di Kampung Sinsingon dan Kampung Lotong, Nabawan, Sabah serta PKPD di Sentosa, Daerah Sibu, Sarawak, mulai esok hingga 12 Mac depan.

Ismail berkata, PKPD di Kampung Sinsingon dan Kampung Lotong, Nabawan, Sabah dilaksanakan selepas Kementerian Kesihatan (KKM) terdapat peningkatkan mendadak kes Covid-19 di kawasan terbabit.

Sehingga kini menurutnya, secara kumulatif sebanyak 42 kes positif COVID-19 telah direkodkan yang melibatkan kedua-dua lokaliti  berkenaan.

“KKM mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak di lokaliti ini dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi.

“Justeru, setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Kampung Sinsingon dan Kampung Lotong, Nabawan, Sabah bermula 27 Februari hingga 12 Mac 2021.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penduduk serta mengawal penularan jangkitan dalam komuniti,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Ismail berkata PKPD Sentosa, Daerah Sibu, Sarawak dilaksanakan selepas KKM hari ini turut melaporkan peningkatkan membimbangkan kes penularan Covid-19 di lokasi terbabit.

Malah, sehingga kini, secara kumulatif sebanyak 59 kes telah direkodkan yang melibatkan lokaliti ini dan KKM mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Penempatan Sentosa Timur Fasa 2, Sibu, Sarawak bermula 27 Februari 2021 sehingga 12 Mac 2021.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas hampir 2500 penduduk serta mengawal penularan jangkitan dalam komuniti,” katanya.

Beliau berkata antara SOP PKPD yang telah ditetapkan adalah semua penduduk di kawasan terlibat tidak dibenarkan keluar daripada rumah masing-masing.

Katanya, semua rumah ibadat dan sekolah di dalam kawasan PKPD ditutup sepanjang tempoh ini dan semua sektor ekonomi tidak dibenarkan beroperasi.

“Sumbangan bantuan oleh NGO sepanjang tempoh PKPD perlu melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu. Pemberian bantuan bekalan makanan akan diselaraskan secara bersama oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu, manakala aktiviti sosial, rekreasi dan budaya adalah tidak dibenarkan,” katanya.

Beliau berkata kerajaan juga memutuskan untuk melanjutkkan pelaksanaan PKPD di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) & Kuarters Kakitangan Batu Gajah, Kinta, Perak kerana masih terdapat peningkatan kes di kawasan terbabit.

Katanya, sebelum ini kerajaan melaksanakan PKPD di PPA & Kuarters Kakitangan Batu Gajah, Kinta, Perak yang dijadualkan tamat pada 27 Februari 2021.

Bagaimanapun, sehingga kini, KKM telah melaksanakan 761 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 433 kes positif COVID19 telah direkodkan.

“KKM mengesahkan peningkatan kes masih berlaku melibatkan tahanan di PPA ini apabila sebanyak 13 kes baharu direkodkan pada 25 Februari 2021.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, Kerajaan bersetuju untuk melanjutkan PKPD PPA & Kuarters Kakitangan Batu Gajah, Kinta, Perak bermula 28 Februari sehingga 13 Mac 2021,” katanya. – Oleh Haika Khazi

Get real time updates directly on you device, subscribe now.