Kos baik pulih aset rosak akibat banjir mencecah RM500 juta

16

26 FEB: Kementerian Kerja Raya (KKR) menganggarkan keseluruhan kos bagi membaik pulih asset yang rosak berikutan pasca banjir di negeri-negeri terjejas adalah sekitar RM500 juta.

Timbalan Ketua Setiausaha KKR (Sektor Dasar dan Pembangunan), Datuk Badrul Hisham Mohd berkata, pihaknya telah mengemukakan perkara itu kepada Kementerian Kewangan dan ia masih dalam peringkat menunggu kelulusan.

Katanya, jumlah peruntukan yang akan diberikan kepada negeri yang terjejas seperti di Johor, Terengganu, Kelantan dan Pahang adalah berdasarkan keperluan serta tahap kerosakan, yang negeri Pahang dilihat bakal menerima peruntukan paling banyak.

“Bagi pasca banjir, kami dapati banyak aset kita yang rosak terutama jalan, jambatan, longkang dan lain-lain..jadi pembaikan segera perlu dilakukan.

“Jawapan bila hendak dapat (peruntukan) itu, buat masa ini saya tidak dapat memberi jaminan kerana ia terpulang kepada pihak Kementerian Kewangan, namun bagi KKR serta Jabatan Kerja Raya (JKR) kami udah mengemukakan jumlah keperluan yang sepatutnya dan sedang menunggu keputusan,” katanya selepas melawat kerja-kerja penyelenggaraan jalan di Lebuhraya Pasir Gudang, Johor malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai status permohonan peruntukan berjumlah RM48 juta oleh kerajaan negeri Johor bagi membaiki jalan yang rosak berikutan banjir pada awal tahun ini.

Sementara itu, Badrul Hisham berkata, menerusi kerja-kerja menyelenggara jalan di Lebuhraya Pasir Gudang membabitkan Seksyen 16-23 itu, ia diharapkan dapat menyelesaikan kerisauan orang ramai berdasarkan aduan dan dakwaan bahawa laluan itu tidak selamat dilalui kerana keadaan jalan berlubang.

Saya ingin menegaskan bahawa KKR bersama JKR komited, dengan kerjasama pihak konsesi untuk memastikan pengguna jalan raya sentiasa merasa selamat.

“Jalan ini tidak mungkin ditutup kerana laluan ini sangat sibuk dan penting untuk sosioekonomi…kami akan uruskan isu ini dan dalam tempoh tiga bulan kami harap kerja-kerja keseluruhan dapat diselesaikan dengan baik,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga dalam masa sama telah melakukan kajian forensik bagi melihat keadaan jalan kerana Pasir Gudang merupakan kawasan perindustrian dan dilalui banyak kenderaan berat untuk memastikan bahan yang digunakan bagi menaik taraf jalan adalah bersesuaian.

Beliau berkata, kerja-kerja penyelenggaraan di Lebuhraya Pasir Gudang melibatkan keseluruhan kos berjumlah RM10.8 juta yang sebahagian besar kos adalah untuk Seksyen 16-23 iaitu di persimpangan Plentong-Seri Alam, manakala selebihnya di Seksyen 10-12 di persimpangan Taman Perindustrian Tebrau-Taman Daya, serta Seksyen 0-2 di Tol Perling sehingga susur Skudai.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.