Keputusan wajar naikkan kompaun ingkar SOP – KPN

28

26 FEB : Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menyambut baik tindakan menaikkan jumlah kompaun hingga RM10,000 terhadap individu manakala RM50,000 ke atas syarikat atau pertubuhan yang ingkar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Abdul Hamid berkata tindakan tersebut adalah wajar dan dengan kadar kompaun baharu itu akan dapat meningkatkan lagi pematuhan orang awam terhadap SOP yang telah ditetapkan.

“Individu yang berulang kali melanggar SOP berkenaan perlu mengambil serius isu kompaun baharu ini.

“Penganjur himpunan atau perjumpaan sosial secara haram dan pemilik premis hiburan yang secara terbuka melanggar SOP itu juga perlu takut dengan kadar maksimum kompaun itu,” katanya, hari ini.

Justeru itu, Ketua Polis Negara menegaskan tempoh untuk memberi amaran dan nasihat untuk mereka yang melanggar SOP sudah berakhir dan pihak polis akan sentiasa bertegas dalam menguatkuasakan undang-undang.

“Tindakan lebih tegas ini menunjukkan polis serius dalam usaha membendung penularan jangkitan berkenaan. Orang awam juga perlu mainkan peranan dengan patuh kepada SOP sedia ada,” katanya.

Terdahulu, menerusi laman Pejabat Peguam Negara, individu yang didapati melanggar peraturan ditetapkan di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) kini boleh didenda sehingga RM10,000, yang akan berkuat kuasa pada 11 Mac ini.

Perkara itu telah diwartakan di bawah Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021.

Bagi syarikat yang didapati melakukan kesalahan yang sama pula boleh dikompaun sebanyak RM50,000.

Kadar kompaun terbabit dinaikkan susulan penggantian Seksyen 25 yang memberi kuasa kepada ketua pengarah kesihatan atau mana-mana pegawai kesihatan yang diberi kuasa oleh pendakwa raya.

Ketika ini, individu dan syarikat yang melakukan kesalahan itu hanya dikenakan kompaun maksimum RM1,000.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.