Jangan terpedaya dakyah kumpulan Anti Vaksin-Sultan Selangor

19

26 FEB : Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menyeru rakyat agar tidak terpedaya dengan dakyah kumpulan-kumpulan tertentu yang mendakwa diri mereka sebagai anti-vaksin yang menularkan pelbagai informasi negatif berhubung pengambilan vaksin COVID-19.

Titah Baginda menerusi Facebook Selangor Royal Office, usaha yang dilakukan kerajaan menerusi pemberian vaksin ini adalah seiring dengan tuntutan agama dan amat wajar dilakukan demi kesihatan dan kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya.

“Beta menasihatkan sekalian rakyat Selangor khususnya dan rakyat Malaysia am-nya, agar mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 masing-masing seperti yang telah dijadualkan oleh Kementerian Kesihatan.

“Selain itu, Beta juga berkenan untuk menerima giliran suntikan vaksin Covid-19 hanya selepas semua petugas barisan hadapan (frontliners) termasuk para doktor, jururawat, kakitangan hospital, anggota keselamatan, polis, tentera dan guru, mendapat suntikan vaksin berkenaan,” titah baginda.

Titah baginda lagi, keutamaan pemberian vaksin ketika ini harus ditumpukan kepada petugas-petugas barisan hadapan yang sentiasa berdepan risiko jangkitan yang lebih tinggi.

Baginda sendiri akan terus mematuhi SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa termasuk memakai pelitup muka, mengekalkan penjarakan fizikal lebih 1 meter serta duduk di rumah sekiranya tidak perlu untuk berada di luar.

Namun demikian, meskipun telah mendapatkan vaksin kelak, Baginda mahu rakyat terus hidup dengan mengamalkan norma-norma baharu sehinggalah pandemik Covid-19 ini dapat dikawal sepenuhnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.