Guan Eng menang rayuan ganti rugi saman Perkasa

20

26 FEB – Mahkamah Persekutuan mengembalikan semula keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan Presidennya, Datuk Ibrahim Ali membayar ganti rugi RM150,000 kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng kerana fitnah.

Dalam keputusan majoriti 2-1, panel tiga hakim yang diketuai oleh Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan membenarkan rayuan Duang Eng untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Hakim Datuk Harmindar Singh Dhaliwal yang menyampaikan keputusan itu berkata seorang pegawai awam, sama ada menyaman kapasiti jawatan rasmi atau peribadi, tidak dilarang daripada membawa tindakan mendapatkan ganti rugi atas fitnah.

Nallini setuju dengan Harmindar sementara Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli sebaliknya.

Mahkamah membenarkan kos RM50,000 diberikan kepada Guang Eng yang merupakan Setiausaha Agung DAP dan juga bekas Menteri Kewangan.

Abdul Rahman berkata, Guan Eng memfailkan saman fitnah itu atas kapasiti jawatan rasminya.

Hakim itu berkata, Guan Eng yang memfailkan tindakan itu atas kedudukan rasminya tidak diwakili dengan sewajarnya oleh pegawai undang-undang kerajaan sebagaimana mengikut Akta Prosiding Kerajaan dan menambahkan, tidak terdapat kebenaran rasmi yang dikemukakan oleh firma guaman yang mewakilinya.

Guang Eng pada 2012 memfailkan saman fitnah terhadap tujuh responden dengan mendakwa bekas Ketua Penerangan Perkasa, Allahyarham Ruslan Kassim telah menyiarkan kenyataan di laman sesawang Perkasa pada 1 Oktober 2011 yang membayangkan beliau (Guang Eng) membahayakan keselamatan negara dengan mendedahkan rahsia negara kepada Singapura.

Pada 26 Mac 2015, Mahkamah Tinggi mendapati The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP); bekas Pengarang  Kumpulannya, Datuk Syed Nazri Syed Harun; Utusan Melayu dan bekas Ketua Pengarang Kumpulan, Datuk Abdul Aziz Ishak, Perkasa, Ibrahim dan Ruslan Kassim bertanggungjawab terhadap fitnah berkenaan.

Mahkamah Tinggi pada 2015, memerintahkan Perkasa membayar ganti rugi sebanyak RM150,000 manakala NSTP dan Utusan masing-masing diperintahkan membayar RM200,000.

Pada 5 Mac 2019, Guan Eng hanya meneruskan permohonannya di Mahkamah Persekutuan untuk mendapatkan kebenaran untuk merayu terhadap Perkasa, Ibrahim dan Ruslan. Namun, pada awal prosiding rayuannya di Mahkamah Persekutuan pada 22 September tahun lepas, Guan Eng menarik balik tindakan undang-undangnya terhadap Ruslan yang meninggal dunia.

Guan Eng juga menarik balik permohonan kebenaran merayu terhadap NSTP dan Utusan Melayu pada 5 Mac 2019 setelah media arus perdana itu bersetuju untuk membayar ganti rugi masing-masing sebanyak RM200,000 yang diputuskan Mahkamah Tinggi kepadanya (Guan Eng).

Guan Eng memperoleh kebenaran untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada Julai 2019.

Prosiding berlangsung secara dalam talian.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.