COVID-19 : Kes sembuh kekal atasi kes baharu

18

24 FEB : Malaysia kembali merekodkan kes positif baharu melebihi 2,000 iaitu sebanyak 2,253 kes berbanding lebih 1,000 sahaja dilaporkan semalam. 

Namun, kes kematian mencatatkan penurunan iaitu 11 kes yang dicatatkan tengahari tadi berbanding semalam adalah 12 kes. 

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata sehingga hari ini, jumlah kumulatif kes positif COVID-19 adalah 295, 951 kes, manakala kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 27,994 kes. 

“Hari ini, Selangor masih mencatatkan bilangan kes COVID-19 harian baharu tertinggi iaitu 633 kes yang direkodkan di negara ini setakat hari ini. 

“Daripada jumlah kes baharu berkenaan, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan tujuh kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara, manakala penularan COVID-19 dalam negara adalah sebanyak 2,246 kes,” katanya menerusi kenyataan di Facebook miliknya, hari ini. 

Dalam pada itu, Noor Hisham memberitahu sebanyak 201 kes kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 93 menerima bantuan alat pernafasan dan jumlah keseluruhan 1, 111 kematian setakat ini.

Pada masa sama, sebanyak 3, 085 kes sembuh direkodkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sebanyak 266, 846 kes atau 90.16 peratus- Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.