Axiata catat untung bersih RM365 juta tahun lepas

17

26 FEB: Keuntungan bersih Axiata Group Bhd berkurangan kepada RM365.15 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2020 daripada RM1.46 bilion pada tahun sebelumnya.

Perolehan susut kepada RM24.2 bilion daripada RM24.58 bilion sebelum ini terutamanya disebabkan impak sekatan perjalanan membabitkan pandemik COVID-19 yang memberikan cabaran kepada agihan dan kemampuan pasaran operasi, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam.

Menurutnya, kumpulan itu turut menerima kesan daripada susut nilai dan hapus kira aset ketara khususnya aset 3G berjumlah sehingga RM821.2 juta serta keuntungan sekali beri yang lebih rendah.

Pada taklimat media secara maya mengenai prestasi kewangan Axiata bagi tahun kewangan 2020 semalam, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Izzadin Idris berkata, cabaran tetap wujud dalam tahun kewangan 2021 dengan petunjuk prestasi utama keseluruhan pertumbuhan rendah satu angka bagi perolehan dan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) bagi tahun itu.

“Kami harus bersikap terbuka mengenai perkara ini. Pada permulaan suku pertama tahun lepas, kami menjangka 2020 akan menyebabkan kami terjejas, sebaliknya kami dalam keadaan baik dengan sebanyak RM865 juta yang mendasari PATAMI (keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti).

“Dengan mengambil kira situasi yang bertambah baik dan walau apa sahaja cabaran, saya berpendapat kami berupaya mempertahankan prestasi ini,” katanya.

Bagi tahun kewangan 2020, beliau berkata, PATAMI yang mendasari Axiata turun 9.4 peratus kepada RM865 juta, terutamanya disebabkan susut nilai dan pelunasan lebih tinggi, sumbangan rendah daripada Ncell dan edotco dan perbelanjaan pemasaran Axiata Digital (Boost) yang meningkat untuk menyokong usaha kerajaan bagi melaksanakan e-dompet.

Beliau berkata, antara usaha untuk meningkatkan daya tahan dan kecekapan rangkaian adalah inisiatif menamatkan 3G yang telah dilaksanakan pada tahun kewangan 2020 untuk menyokong pelaksanaan teknologi 4G yang lebih berkesan di samping menguruskan peningkatan permintaan data dan digital daripada pengguna.

Izzadin berkata, susut nilai ketara aset 3G dan keuntungan sekali beri lebih rendah daripada penjualan hak M1 dan Idea serta pelupusan perniagaan digital bukan teras pada tahun kewangan 2019 telah menjejaskan PATAMI yang merosot kepada RM365.2 juta bagi tahun kewangan 2020

Bagaimanapun, beliau berkata, lembaran imbangan Axiata kekal kukuh pada akhir tahun dengan baki tunai yang tinggi sebanyak RM7.2 bilion dan nisbah hutang kasar kepada EBITDA pada 2.57 kali, memperkukuh kedudukannya untuk menangani ketidaktentuan ekonomi dan pandemik yang berlanjutan, yang dijangka berlaku pada 2021.

Beliau berkata, peruntukan perbelanjaan modal (capex) yang optimum bagi tahun kewangan 2020 telah meningkatkan aliran tunai bebas dalam kedudukan yang baik sebanyak 73.1 peratus kepada RM3.3 bilion.

Izzadin berkata, syarikat itu mengakui bahawa pasaran operasi masih berdepan cabaran meskipun pemulihan dijangka berlaku susulan usaha vaksinasi global.

Beliau berkata, lembaga pengarah Axiata tetap berhati-hati dengan ketidaktentuan yang berlaku, namun yakin bahawa peningkatan pembayaran jangka panjang akan kekal kukuh.

Untuk itu, lembaga pengarah telah mengumumkan jumlah dividen tahun penuh sebanyak tujuh sen sesaham biasa termasuk dividen interim dua sen sesaham biasa bagi tempoh kewangan berakhir 30 Jun 2020.

Bagi tahun kewangan 2021, Izzadin berkata, kumpulan itu telah memperuntukkan capex berjumlah RM6.5 bilion yang mencukupi berdasarkan penilaian ke atas unjuran permintaan bagi 2021 dari segi kapasiti rangkaian.

Kumpulan itu turut memberi tumpuan kepada pengurusan kos dan mengoptimumkan kecemerlangan operasi sebagai sebahagian daripada Axiata 5.0.

Beliau berkata, Axiata akan turut memberi fokus untuk menjimatkan wang bagi tahun kewangan 2021 terutamanya melalui kecekapan capex dan pengurusan kos berdisiplin dalam kumpulan itu serta meningkatkan simpanan dana untuk digunakan semasa tempoh sukar dalam normal baharu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.