Tun Faisal harap Lembaga Disiplin UMNO penuhi 3 permintaan

41

25 FEB: Setiausaha Akhbar kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz memohon Lembaga Disiplin UMNO menunaikan tiga permintaannya sebelum beliau dihadapkan ke tribunal berkenaan, pada 1 Mac ini.

Tun Faisal yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya berkata, permintaan pertamanya adalah supaya Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Zulhasnan Rafique mendedahkan nama anggota tribunal termasuk pengerusi dan anggota yang bakal mengadili kes saya nanti.

“Kedua, saya juga berharap Tan Sri dapat mendedahkan nama pengadu atau nama UMNO Bahagian yang membuat aduan terhadap saya dan apakah butiran aduan asal dan peraturan-peratuan yang didakwa telah dilanggar oleh saya.

“Ketiga, Lembaga Disiplin UMNO membenarkan saya membawa dua pengamal undang-undang untuk hadir bersamanya sebagai pemerhati dan pihak yang boleh menasihati pada hari berkenaan,” katanya satu salinan surat permohonan dihantar kepada Zulhasnan yang turut dikongsi kepada wartawan PN BBC di sini hari ini.

Pada 19 Februari lalu, media melaporkan Tun Faisal menerima surat tunjuk sebab dan bakal dihadapkan ke Tribunal Lembaga Disiplin UMNO.

Tun Faisal berkata, beliau menerima surat tunjuk sebab menerusi pesanan WhatsApp dan panggilan telefon daripada Sekretariat Lembaga Disiplin UMNO

Antara kandungan surat berkenaan mereka memintanya memberikan penjelasan kenapa tindakan disiplin tidak boleh diambil terhadapnya berikutan tindakannya yang lantang mengkritik Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi secara terbuka.

Berikutan itu Tun Faisal berterima kasih kepada Lembaga Disiplin UMNO kerana membenarkannya menukar tarikh pendengaran kesnya yang dijadual hari ini kepada satu tarikh baharu iaitu 1 Mac depan kerana komitmen kerjanya.

“Tarikh baru yang dipohon adalah pada 1 Mac 2021 dan pihak Lembaga Disiplin telah bersetuju dengan tarikh ini. Masa tribunal adalah jam 2.30 petang dan akan berlangsung di Tingkat 7, Menara Dato Onn, PWTC. Untuk membantu persiapan dan memberikan keadilan kepada saya, saya juga telah memohon tiga perkara daripada Lembaga Disiplin.

“Permohonan ini dibuat selepas berbincang dengan rakan-rakan peguam dan pemimpin veteran UMNO yang telah melihat bagaimana Lembaga Disiplin dan proses keadilan dilaksanakan di dalam parti sebelum ini termasuklah dalam kes pemecatan Datuk Lokman Adam,” katanya.

Mengulas lanjut, Tun Faisal berkata sebagai langkah persiapan, beliau telah berbincang dengan beberapa orang pengamal undang-undang dan pemimpin veteran parti.

“Berdasarkan pandangan dan nasihat mereka, bagi menjamin dan memastikan proses pendengaran dan membuat keputusan tribunal ini dilaksanakan secara adil dan telus, saya berharap pihak Lembaga Disiplin UMNO memenuhi tiga permintaan saya ini.

“Jika ketiga-tiga permintaan saya ini dapat dipenuhi memandangkan proses dan ketelusan tribunal ini amat penting bagi memastikan UMNO dilihat adil dan mengenepikan persepsi bahawa Lembaga Disiplin UMNO dipergunakan untuk memenuhi kepentingan individu tertentu dalam parti.

“Surat jawapan terhadap dakwaan ke atas saya akan saya serahkan kepada Tan Sri (Zulhasnan) semasa sesi panel tribunal nanti,” katanya.  – Oleh Haika Khazi

Get real time updates directly on you device, subscribe now.