Tiada gejala sampingan selepas 24 jam terima suntikan

26

25 FEB : Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah mengakui tidak berasa sebarang perbezaan pada tubuh atau kesihatannya serta boleh melaksanakan tugasnya seperti biasa. 

Noor Hisham berkongsi perkara itu menerusi ciapam di Facebook rasmi miliknya selepas menerima suntikan vaksin COVID-19, Pfizer-BioNTech semalam.

“Alhamdulilah Saya sihat setelah menerima suntikan Vaksin Covid-19 semalam. Tiada langsung gejala seperti demam atau sakit.

“Saya juga sudah kemas kini pemantauan susulan dalam aplikasi MySejahtera,” katanya, hari ini. 

Dr Noor Hisham merupakan individu terawal yang mengambil suntikan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech di negara ini. 

Beliau bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin disuntik vaksin itu di Pejabat Kesihatan Daerah Putrajaya, Presint 11, yang turut menjadi simbolik kepada bermulanya Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini juga berkongsi keadaan dirinya menerusi sebuah kilp video di Facebook rasmi miliknya selepas menerima suntikan vaksin COVID-19, Pfizer-BioNTech semalam.

Menurut Muhyiddin, ramai yang bertanyakan bagaimana keadaan dirinya dan adakah kesan-kesan sampingan yang berlaku setelah beliau menerima suntikan vaksin tersebut.

“Alhamdulilah, hari ini hari kedua saya selepas menerima suntikan vaksin COVID-19 semalam. Jadi, ramai yang nak tanya saya bagaimana keadaan saya hari ini. Alhamdulillah saya berasa sihat, tiada rasa demam, tiada rasa luar biasa, makan macam biasa selera pun macam biasa.

“Syukur semuanya berjalan dengan baik dan saya yakin untuk mengatakan bahawa vaksin ini adalah selamat dan berkesan,” katanya 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.