PKPD tiga kampung di Terengganu tamat 27 Feb ini

35

25 FEB : Kerajaan bersetuju menamatkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Darau-Awek, Kampung Padang Baloh dan Kampung Lepan Kejor, Pasir Akar, Besut, Terengganu, lusa.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sehingga kini, KKM telah melaksanakan 108 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 39 kes positif COVID-19 telah direkodkan. 

“Walau bagaimanapun, KKM mengesahkan baki kes aktif di lokaliti ini menunjukkan trend penurunan dan semua kes sudah di discaj manakala kontak rapat telah melengkapkan tempoh HSO.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama, Kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di tiga kampung di Pasir Akar, Besut,Terengganu pada 27 Februari seperti yang dijadualkan, “katanya dalam sidang media perkembangan PKP dan PKPB di Kementerian Pertahanan, di Putrajaya hari ini.

Dalam pada itu, mengenai task force operasi pematuhan, Ismail memberitahu PDRM telah menahan seramai 460 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan SOP.

Tambah beliau, daripada jumlah itu, seramai 379 individu dikompaun manakala 70 orang pula direman dan dua lagi telah dijamin. 

“Antara kesalahan adalah gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri/pelanggan (135), tiada penjarakan fizikal (109), rentas negeri/daerah tanpa kebenaran (68) dan tidak memakai pelitup muka (63). 

“Selain itu, turut direkodkan iaitu aktiviti pelacuran/rumah urut (20), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (20), aktiviti pusat hiburan (12) dan lain-lain (33),” katanya. 

Mengenai Operasi Benteng, beliau berkata, seramai 23 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan dua tekong telah ditahan serta 11 kenderaan darat dirampas.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan, sejak 24 Julai tahun lalu sehingga semalam, seramai 130, 335 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemuanya telah ditempatkan di 77 hotel dan 13 institut latihan awam (ILA) serta institut pengajian swasta di seluruh negara.

“Seramai 701 individu pula telah dibawa ke hospital untuk rawatan manakala 121,881 individu dibenarkan pulang ke rumah,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.