PKP: Denda hingga RM10,000 jika langgar SOP mulai 11 Mac

134

25 FEB : Individu yang didapati melanggar peraturan ditetapkan di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) kini boleh didenda sehingga RM10,000, yang akan berkuat kuasa pada 11 Mac ini.

Menurut laman Pejabat Peguam Negara, perkara itu telah diwartakan di bawah Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021.

Bagi syarikat yang didapati melakukan kesalahan yang sama pula boleh dikompaun sebanyak RM50,000.

Ordinan berkenaan turut merangkumi pindaan terhadap penalti umum mengikut Seksyen 24, dengan menyatakan mana-mana orang yang melakukan kesalahan di bawah Akta itu, “yang tiada penalti diperuntukkan dengan nyata” boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara maksimum tujuh tahun.

Selain itu, ia turut menyatakan orang yang diberi kuasa boleh mengarahkan pesakit Covid-19 atau kontak rapat untuk memakai alat pengesanan seperti gelang tangan atau peranti lain.

Ordinan itu turut menjadikan kesalahan untuk merosakkan peranti berkenaan. Selain itu, bagi syarikat yang menyalahi PKP, wakilnya boleh didakwa di mahkamah

Sebelum ini, di bawah Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, memperuntukkan hukuman maksimum penjara enam bulan dan denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya.

Antara kesalahan yang boleh dikenakan kompaun ialah tidak memakai pelitup muka, gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal, gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan, rentas daerah/negeri tanpa kebenaran dan aktiviti pusat hiburan.

Pada Januari lalu, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berpendapat sudah tiba masanya nilai kompaun kerana ingkar dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKP.

Susulan daripada itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah turut mengesahkan bahawa draf cadangan kepada pejabat peguam negara (AGC) untuk menaikkan kompaun telah dibuat.

Ini kerana keperluan untuk meningkatkan kompaun tersebut kerana di bawah Akta 342, maksimum denda yang dikenakan ialah RM1,000 sahaja dan ia didraf pada tahun 1988. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.