Pengurusan Kondominium Tiada Kuasa Kenakan Kompaun

49

25 FEB : Kerajaan tidak pernah memberikan kuasa kepada pihak pengurusan pengurusan kondominium, pangsapuri kawasan perumahan serta kawasan pejabat untuk mengenakan kompaun jika terhadap penghuni yang tidak memakai pelitup muka. 

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, arahan memakai pelitup muka dan standard operasi prosedur (SOP) tertakluk di bawah Akta 342 Kementerian Kesihatan Malaysia. 

Menurut beliau, setakat ini, hanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang diperuntukkan kuasa oleh KKM untuk melaksanakan penguatkuasaan serta tindkan mengeluarkan kompaun dan sebagainya. 

“Kita tidak pernah beri kuasa kepada pengurusan kondominium, apartment atau pejabat mana-mana untuk ambil tindakan. Dari segi kuasa memang tiada kerana ini berkaitan SOP dan hanya polis sahaja yang boleh memberi kompoun. 

“Jadi, apa yang dilakukan pengurusan di kondominium di Ampang ini salah dan tidak boleh dilakukan. Saya harap mereka menarik baik kompaun RM100 yang diberikan kepada kanak-kanak setahun pula itu, tindakan yang tidak munasabah bagi saya,” katanya dalam sidang media perkembangan PKP dan PKPB di Kementerian Pertahanan, Putrajaya, hari ini. 

Beliau berkata demikian bagi mengulas kejadian tular seorang kanak-kanak berumur setahun dikompoun di dalam lif  oleh pengurusan sebuah kondominium selepas dikatakan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Menerusi perkongsian di Facebook Info Roadblock JPJ/Polis pada Rabu, insiden itu didakwa berlaku apabila kanak-kanak berkenaan yang dipercayai anak kepada salah seorang penghuni di sini dikesan tidak memakai pelitup muka sewaktu berada di dalam lif.

Menurut halaman itu, selepas mengenal pasti kesalahan itu menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), pihak pengurusan kondominium mengeluarkan notis kompaun bernilai RM100 kepada kanak-kanak terbabit.

“Tular pada malam ini (semalam) , kes seorang kanak-kanak berumur setahun disaman RM100 oleh pihak pengurusan sebuah kondominium di Ampang, Selangor kerana tidak memakai pelitup muka ketika berada dalam lif,” katanya.

Menerusi foto tangkap layar yang dimuat naik itu, kelihatan penghuni terlibat seolah-olah tidak berpuas hati dengan tindakan pengurusan kondominium terbabit dan menyatakan bahawa kanak-kanak setahun tidak diwajibkan memakai pelitup muka.

Bagaimanapun, pengurusan kondominium terbabit kekal dengan pendirian mereka untuk mengeluarkan notis kompaun tersebut.

Sehingga jam 7 petang tadi, perkongsian itu telah mendapat sebanyak 1,600 komen dan lebih kurang 1,000 perkongsian daripada netizen- Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.