Majikan pukul, simbah air panas pembantu rumah ditahan

47

25 FEB: Sepasang suami isteri ditahan polis selepas dipercayai mendera pembantu rumah warga Myanmar mereka di sebuah rumah di Jalan Perpaduan, Kampung Baru, Bukit Mertajam, Pulau Pinang semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, bertindak hasil maklumat, polis menjalankan pemeriksaan di rumah pasangan suami isteri yang juga majikan kepada pembantu rumah berusia 30-an itu pada 9.30 malam tadi.

SHAFEE

“Kami menerima maklumat daripada beberapa individu berhubung kejadian dera dan polis telah ke rumah berkenaan sebelum menyelamatkan mangsa yang ketika itu berada di sebuah bilik dalam keadaan lemah.

“Pemeriksaan awal terhadap fizikal mangsa mendapati terdapat beberapa kesan kecederaan di bahagian muka, kesan parut melecur di lengan, luka bekas jahitan dan kesan calar di badan serta kakinya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shafee berkata, pembantu rumah yang bekerja dengan majikannya sejak dua tahun lepas itu memberitahu bahawa dia didera dengan cara dipukul, disimbah air panas, cubitan dan sebagainya oleh majikan wanitanya sejak setahun lepas.

Tambahnya, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan dan polis akan mengambil keterangan mangsa untuk siasatan lanjut.

Berikutan itu, beliau berkata, pasangan suami isteri berusia 50-an dan 60-an itu direman untuk siasatan kes mengikut Seksyen 13 dan Seksyen 44 Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007.

Difahamkan, sepanjang mangsa bekerja di situ dia dibayar gaji namun majikannya mengabaikan dari segi kebajikan termasuk makanan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.