Dua Renjer Thai maut dalam insiden letupan bom di Narathiwat

34

25 FEB : Insiden letupan bom paip dan kejadian berbalas tembakan di kampung di Ra-ngae, Narathiwat yang terletak di selatan Thailand menyebabkan dua anggota renjer Thai maut manakala seorang lagi rakan mereka cedera parah.

Ketua Polis Ra-ngae, Piyapak Thongpanlertkun, berkata, 16 anggota renjer dikejutkan dengan beberapa letupan yang ketika itu sedang berehat di dalam khemah selepas melakukan rondaan kira-kira 6.50 pagi waktu tempatan.

Menurut beliau, sekumpulan individu kemudiannya mula melontarkan bom paip buatan sendiri dan melepaskan tembakan ke arah khemah itu.

“Insiden berbalas tembakan antara renjer dan kumpulan penyerang berlanjutan kira-kira lima minit sebelum kumpulan penyerang beredar dari tempat kejadian.

“Seorang renjer meninggal dunia di tempat kejadian, manakala dua lagi cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Ra-ngae. Seorang lagi disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di hospital,” katanya, hari ini.

Dalam pada itu, Thongpanlertkun memberitahu hasil siasatan awal polis mendapati kumpulan penyerang tersebut terdiri daripada sekurang-kurangnya 15 individu.

“Kumpulan itu turut melarikan tiga laras senapang milik anggota renjer yang sedang bertugas.

“Pasukan keselamatan sedang mempergiat usaha untuk menjejaki suspek yang terbabit,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.