Diplomat Junta Myanmar adakan pertemuan dengan Indonesia, Thailand

20

24 FEB: Menteri luar junta tentera Myanmar mengadakan pertemuan bersama rakan sejawatnya, Thailand dan Indonesia ketika kuasa serantau cuba untuk menamatkan tunjuk perasaan selama tiga minggu yang membawa kematian, ekoran rampasan kuasa tentera.

Menteri luar, Wunna Maung Lwin, mengadakan perbincangan dengan dua rakan sejawatnya di Thailand itu disifatkan sebagai pertemuan bersemuka kali pertama antara seorang anggota kanan junta dan kerajaan asing.

Pertemuan itu diadakan selepas pengumuman mengenai menteri luar Indonesia, Retno Marsudi tidak akan segera mengunjungi negara yang berdepan rampasan kuasa itu walaupun terdapat dokumen bocor dari pihak Myanmar mengenai kedatangannya kelak, lapor AFP.

Sebaliknya, jurucakap kementerian luar Thailand, Tanee Sanrat mengesahkan dalam pesanan teks kepada wartawan bahawa Retno yang mengunjungi Bangkok, bertemu dengan Wunna Maung Lwin di Thailand, hari yang sama beliau mengadakan pertemuan dengan menteri luar negara itu, Don Pramudwinai.

“Kami tidak merancangnya, namun pertemuan itu benar,” kata Tanee menjawab soalan mengenai pertemuan antara tiga menteri itu.

Terdahulu, tentera junta berdepan banyak kecaman antarabangsa kerana menggulingkan pemimpin awam, Aung San Suu Kyi daripada kuasa pada 1 Februari lalu, manakala perbezaan pendapat dalam sempadannya semakin buruk, dengan tunjuk perasaan berlaku di seluruh negara setiap hari.

Dalam pada itu, sumber lain kerajaan berkata, berlangsung ‘mesyuarat tiga hala antara menteri Indonesia, Thailand dan Myanmar, yang dicadangkan Thailand’.

Setakat ini, tiada sebarang perincian yang dikeluarkan mengenai perbincangan tersebut. 

Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-O-Cha, yang berkuasa selepas rampasan kuasa pada 2014, tidak mengesahkan sebarang mesyuarat dan berkata isu itu akan ‘dikendalikan kementerian luar’.

Dua negara ASEAN itu adalah ‘jiran yang mesra’, katanya sebelum menutup kepada soalan selanjutnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.