Adham Baba terima suntikan vaksin Covid-19 hari ini

83

25 FEB: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba menerima suntikan vaksin COVID-19 di  Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya, Presint 11, Putrajaya, kira-kira jam 12.45 tengah hari tadi.

Turut menerima suntikan vaksin berkenaan ialah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan (KKM), Datuk Mohd Shafiq Abdullah

Selain mereka, tiga petugas barisan hadapan KKM, Tawfik Adnan yang bertugas sebagai pemandu; Encik Farid Md Ithnin yang bertugas sebagai  Pembantu Kesihatan Awam di PKD Putrajaya dan Yusniza M Yusof yang bertugas sebagai jururawat di Klinik Kesihatan, Presint 11 Putrajaya turut menerima suntikan vaksin COVID-19.

Dua orang vaksinator yang bertugas adalah Laily Norazura Yakub yang bertugas di Klinik Kesihatan Presint 11 dan Muhamad Bakhrul Ulum Mohd Rashid yang bertugas di Klinik Kesihatan Presint 9.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menjadi individu pertama menerima suntikan vaksin Covid-19  di negara ini sebagai simbolik pemulaan kepada Program Imunisasi  Covid-19 Kebangsaan iaitu program vaksinasi terbesar dalam sejarah Malaysia.

Muhyiddin menerima suntikan dos pertama vaksin keluaran syarikat Pfizer-BioNTech di Pejabat Kesihatan Presint 11, Putrajaya yang menjadi salah satu Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang dikenal pasti di seluruh negara, pada jam 2.43 petang semalam.

Selepas menerima suntikan dos pertama vaksin berkenaan Muhyiddin dibawa ke bilik khas oleh petugas kesihatan bagi proses pematauan selama antara 15 hingga 30 minit bagi memastikan Perdana Menteri tidak menghadapi sebarang alahan atau kesan sampingan yang teruk, sebelum dibenarkan meninggalkan pusat kesihatan berkenaan.

Penerimaan suntikan pertama bagi Malaysia itu disiarkan secara langsung menerusi pelbagai platform media termasuk di media sosial, bagi membolehkan rakyat mendapat gambaran sebenar dan menyeluruh Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang bermula secara rasmi hari ini.

Terdahulu, Muhyiddin tiba di PKD Putrajaya pada kira-kira jam 2.25 petang dan membuat imbasan kod MySejahtera, yang akan menjadi aplikasi bagi satu daripada kaedah pendaftaran penerimaan vaksin COVID-19 selepas ini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.