Program Imunisasi Covid-19 dijangka selesai akhir tahun ini

17

24 FEB: Biarpun sasaran asal Program Imunisasi Covid-19 tamat pada Februari 2022, program itu dijangka dapat diselesaikan sebelum akhir tahun ini.

Menteri Penyelaras program itu, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, keyakinan tersebut adalah berdasarkan tahap kecekapan dan juga profesionalisme Kementerian Kesihatan (KKM) selain ketibaan vaksin mengikut jadual.

Menurutnya, selain itu, pada fasa ketiga, Pusat Vaksinasi Mega akan ditubuhkan antaranya di dalam stadium serta pusat persidangan dan langkah itu bakal menyaksikan lebih ramai orang dapat divaksinasi pada satu-satu masa.

KHAIRY JAMALUDDIN

“Bagaimanapun, apa yang masih lagi menjadi tanda tanya ialah sama ada kita akan mendapat vaksin mengikut jadual yang ditetapkan.

“Kita sudah menandatangani perjanjian dengan beberapa syarikat termasuk Pfizer tetapi kita masih lagi bergantung kepada kapasiti kilang pembuatan mereka di luar Negara.

“Kalau mereka menepati perjanjian atau kontrak itu, saya percaya dan yakin kita dapat selesaikan sebelum akhir tahun ini,” katanya semasa ditemu bual melalui panggilan video dalam program Bicara Naratif di RTM malam tadi.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu berkata, buat masa ini, selain Pfizer, Malaysia mempunyai perjanjian dengan empat pengeluar vaksin berbeza di luar negara iaitu Sinovac dari China, AstraZeneca (United Kingdom),  Gamaleya (Sputnik V) dari Rusia dan vaksin satu dos CamSinoBIO (China) yang masih lagi dinilai oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

“Maklumat dan data yang dikeluarkan pengeluar vaksin itu mestilah berdasarkan kepada uji kaji yang dijalankan di luar negara yang menunjukkan bahawa vaksin itu selamat dan berkesan… kalau NPRA berpuas hati, barulah NPRA memberi kelulusan untuk vaksin tersebut.

“Kalau NPRA bagi kelulusan kepada semua vaksin ini untuk digunakan di Malaysia, maka bertambahlah bekalan kita untuk percepatkan imunisasi ini,” katanya.

Khairy berkata, kerajaan juga bercadang membeli vaksin satu dos Johnson&Johnson keluaran Amerika Syarikat yang mungkin digunakan di kawasan pedalaman di mana akses keluar masuknya adalah sukar untuk memungkinkan pengambilan vaksin dua dos.

Menyentuh mengenai Pusat Vaksinasi Mega, beliau berkata ia bakal ditubuhkan dalam fasa ketiga (fasa orang ramai) memandangkan ia merupakan yang terbesar antara ketiga-tiga fasa bagi program itu.

“Fasa ketiga juga merupakan penjadualan penghantaran vaksin yang paling banyak iaitu kalau hari ini ratusan ribu sahaja tetapi menjelang pertengahan tahun ini apabila fasa ketiga bermula, penjadualan penghantaran vaksin adalah jutaan vaksin akan sampai.

“Sebab itu kita memerlukan tempat atau pusat pemberian vaksin yang besar untuk kita selesaikan pemberian vaksin dan tidak perlu kita simpan vaksin ini di pusat simpanan vaksin,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.