Muhyiddin selesai terima dos pertama vaksin COVID-19

57

24 FEB: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi individu pertama di negara ini menerima suntikan vaksin COVID-19 sebagai simbolik pemulaan kepada Program Imunisasi  COVID-19 Kebangsaan iaitu program vaksinasi terbesar dalam sejarah Malaysia.

Muhyiddin menerima suntikan dos pertama vaksin keluaran syarikat Pfizer-BioNTech di Pejabat Kesihatan Presint 11, Putrajaya yang menjadi salah satu Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang dikenal pasti di seluruh negara, pada jam 2.43 petang tadi.

Selepas menerima suntikan dos pertama vaksin berkenaan Muhyiddin dibawa ke bilik khas oleh petugas kesihatan bagi proses pematauan selama antara 15 hingga 30 minit bagi memastikan Perdana Menteri tidak menghadapi sebarang alahan atau kesan sampingan yang teruk, sebelum dibenarkan meninggalkan pusat kesihatan berkenaan.

Penerimaan suntikan pertama bagi Malaysia itu disiarkan secara langsung menerusi pelbagai platform media termasuk di media sosial, bagi membolehkan rakyat mendapat gambaran sebenar dan menyeluruh Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang bermula secara rasmi hari ini.

Terdahulu, Muhyiddin tiba di PKD Putrajaya pada kira-kira jam 2.25 petang dan membuat imbasan kod MySejahtera, yang akan menjadi aplikasi bagi satu daripada kaedah pendaftaran penerimaan vaksin COVID-19 selepas ini.

Beliau kemudian membuat pendaftaran diri dengan petugas kesihatan bagi tujuan penerimaan vaksin sebelum dibawa ke auditorium bagi mendapatkan penerangan ringkas berkenaan vaksinasi.

Muhyiddin kemudian menandatangani borang persetujuan sebagai dokumen pengisytiharaan diri dan kebenaran individu untuk divaksin.

Sebaik menerima suntikan, Muhyiddin dibawa ke ruangan khas, bagi menunggu selama kira-kira 15 hingga 30 minit untuk memantau sekiranya berlaku reaksi susulan seperti alahan atau simptom lain.

Perdana Menteri kemudian diiringi Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin serta Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, dibawa untuk mengambil janji temu untuk pengambilan dos kedua.

Turut menerima suntikan dos pertama selepas Muhyiddin ialah Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan empat lagi petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia. – Oleh Haika Khazi

Get real time updates directly on you device, subscribe now.