PKPD Kampung Acheh di Perak bermula esok

33

24 FEB: Kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Hostel Centennial, Kampung Acheh, Setiawan, Perak, mulai esok hingga 10 Mac depan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan berbuat demikian selepas Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini telah melaporkan situasi jangkitan kes COVID-19 dalam komuniti di kawasan terbabit amat tinggi.

Ismail Sabri berkata sehingga 21 Februari 2021, KKM telah melaksanakan sebanyak 349 ujian saringan dan daripada jumlah itu 125 orang didapati positif COVID-19.

“KKM juga mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak di lokaliti ini dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi. Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Hostel Centennial, bermula 25 Februari 2021 hingga 10 Mac 2021.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penghuni asrama serta mengawal pergerakan dan penularan jangkitan dalam komuniti,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata semalam, seramai 15,997 warga asing telah menjalani ujian saringan COVID-19 dan daripada jumlah itu, 37 orang didapati positif COVID19.

Beliau berkata secara kumulatifnya, Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan seramai 474,916 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan COVID-19 yang melibatkan 24,050 majikan.

“Daripada jumlah ini, seramai 15,960 orang telah disahkan positif COVID-19 manakala 466,675 lagi adalah negatif. Sehingga kini, sebanyak 1,476 buah klinik telah terlibat dengan program saringan seperti diwajibkan kepada semua pekerja warga asing mulai 1 Februari 2021,” katanya. – Oleh Haika Khazi

Get real time updates directly on you device, subscribe now.