Peristiwa 22 Bulan di Bawah PH Boleh Berulang- Ismail Sabri

187

24 FEB : UMNO harus terus memperkukuhkan parti dan memastikan tiada lagi perpecahan yang terjadi di kalangan bangsa Melayu itu sendiri, di mana perpecahan sesama sendiri itu boleh membuatkan kekuatan politik bangsa Melayu menjadi lemah yang memungkinkan peristiwa 22 bulan di bawah Pakatan Harapan (PH) berulang kembali.

Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selain daripada soal kesihatan, seiring yang perlu diperkukuhkan adalah perpaduan bangsa Melayu Bumiputera.


“Saya konsisten untuk bercakap dan memperjuangkan bangsa melayu disamping menghormati rakan-rakan lain dalam negara kita. 22 bulan PH mentadbir negara, kemajmukan ini seakan cuba dirobek apabila hak keistimewaan orang Melayu Bumiputera diganggu. 

“Mana mungkin kita lupa kesengsaraan yang dilakukan oleh PH sepanjang mereka menjadi pimpinan negara sehinggakan ramai pelabur mula menarik diri. 

“Justeru, ingin saya tekankan betapa pentingnya Melayu Bumiputera bersatu dalam menghadapi dunia politik yang semakin mencabar. Mahu tidak mahu, kita tidak dapat menolak bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) sudah tidak lama,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini. 

Dalam pada itu, Ismail Sabri memberitahu sepanjang UMNO dan Barisan Nasional (BN) menjadi kerajaan, telah terbukti negara ini ditadbir dengan baik dan sikap saling hormat menghormati antara kaum sentiasa dipelihara dalam semua aspek. 

Beliau yang juga Menteri Kanan Pertahanan berkata, bukan hanya bangsa Melayu dan Bumiputera terjamin tetapi kaum-kaum lain turut bebas mengamalkan budaya serta kepercayaan masing-masing, malah dirai bersama dalam kemajmukan Malaysia. 

“Lantaran itu, bangsa lain tidak perlu khuatir sama sekali sekiranya UMNO yang menjadi kompenan dalam BN kembali menjadi tunjang negara,”katanya.

Dalam mencari kepercayaan rakyat, beliau berkata UMNO juga perlu belajar daripada kesilapan di mana kita tersilap membuat percaturan sehingga akhirnya tersungkur pada PRU-14 yang lalu. 

“Tidak salah untuk kita akui kesilapan dan belajarlah daripada kesilapan ini agar kita dapat membina kembali keutuhan parti. Ingatlah, lidi yang sebatang, terlalu mudah dipatahkan namun jika ia menjadi seberkas, ia menjadi kuat dan kukuh,” katanya. 

Justeru, beliau yang juga Ahli Parlimen Bera menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia supaya menolak politik kebencian dan fitnah dan kita harus mencari satu permulaan baru kepada Malaysia yang lebih baik dan aman dalam norma baharu pasca COVID-19. 

“Saya amat yakin dengan segala sejarah dan peristiwa lepas yang telah menjerumuskan kita dalam rekah kebinasaan sebuah negara majmuk seketika itu menjadikan kita lebih matang dan rasional dalam menentukan halatuju negara demi masa depan generasi akan datang,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.