Pemandu KKM frontliner pertama terima suntikan vaksin

58

24 FEB: Pemandu di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya, Clement Marai Francis, 36, bersyukur dan terharu kerana dipilih sebagai petugas barisan hadapan pertama dan rakyat Malaysia kedua menerima suntikan vaksin COVID-19 Pfizer BioNTech hari ini.

Beliau yang menerima suntikan selepas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Klinik Kesihatan Presint 11, Putrajaya berkata, pemberian suntikan berkenaan membolehkan beliau melindungi diri dan keluarganya daripada terkena jangkitan Covid-19 terutama dengan tugasnya yang mencabar dan mengancam nyawa apabila perlu berdepan mereka yang dijangkiti.

Berikutan itu, Clement yang sudah lapan tahun bertugas sebagai pemandu Kementerian Kesihatan (KKM) berkata beliau akan memastikan semua ahli keluarga serta rakannya turut mengambil vaksin COVID-19 bagi melindungi diri mereka daripada pandemik itu.

“Saya bertugas menghantar kes COVID-19. Pemandu di Pusat Kesihatan juga ada pertukaran kerja setiap tiga bulan dan kami juga terbabit dalam mengambil sampel ujian dari hotel (yang menjadi pusat kuarantin untuk dibawa ke makmal).

“Kita sudah tidak rasa takut-takut apabila bersama dengan keluarga bila balik kerja,” katanya yang tidak mengalami sebarang alahan dan masalah kesihatan selepas 30 minit mendapat suntikan pelalian terbabit.

Selain Clement, empat lagi yang turut menerima pelalian terhadap COVID-19 adalah Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah; Pegawai Perubatan di Klinik Kesihatan Presint 9, Putrajaya, Dr Tan Yee Ling; Penolong Pegawai Perubatan di PKD Putrajaya, Khairul Asraf Mohd Yasin dan Jururawat Klinik Kesihatan Presint 9, Putrajaya, Sheilla Mellissa Sikin.

Dalam pada itu Ketua Jururawat Kesihatan di PKD Putrajaya, Lina Ibrahim, 49, jurusuntik yang diamanahkan memberikan suntikan vaksin COVID-19 kepada Perdana Menteri, berkata beliau berdebar namun berbangga kerana diberikan kepercayaan itu.

“Saya berbangga juga kerana saya dipilih antara jururawat yang berada di sini. Perasaan ini memang sangat mendebarkan tetapi Alhamdulillah segalanya sudah selesai. Saya sudah selesai amanah yang telah dipertanggungjawabkan,” katanya.

Ditanya jika beliau menjalani latihan sebelum ini, Lina berkata beliau memang menjalani amali untuk pemberian suntikan vaksin COVID-19 dan penyelia memantau kami untuk persediaan sebelum memberi suntikan,” katanya.

Sementara itu Khairul Asraf, 44, yang terbabit secara langsung dalam pengurusan COVID-19 di negara ini sejak Mac tahun lalu, berkata beliau bersyukur menjadi penerima pertama bersama-sama Muhyiddin dan Dr Noor Hisham.

“Saya berharap proses pelalian ini akan berjalan dengan lancar dan semua rakyat Malaysia dapat memberi kerjasama dalam mengurangkan penularan wabak COVID-19.

“Selain itu, saya berharap supaya semua petugas barisan hadapan dapat mengambil suntikan vaksin COVID-19. InsyaAllah kita ikhtiar dan tawakal kepada Allah SWT,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.