Malaysia perlu hati-hati tangani isu pelarian Rohingya

73

24 FEB: Kerajaan Malaysia mempunyai pertimbangan kemanusiaan dengan mengambil kira percaturan politik yang memerlukan sikap berhati-hati dalam menangani isu kebanjiran pelarian Rohingya ke negara ini.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pembelaan terhadap Rohingya bukanlah semata-mata bermotifkan politik pilihan raya di Malaysia.

Abdul Hadi yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah berkata, isu pelarian bukan sekadar dijadikan bahan untuk meraih undi tanpa melihat kedudukan Islam yang wajib diberikan hak mempunyai tanah air kepada umat Islam daripada kaum Rohingya.

ABDUL HADI

“Perjuangan mereka mendapatkan semula hak tanah air wajib dibantu, bukannya memudahkan jalan supaya menyerah kalah terhadap kezaliman dengan menyerahkan tanah air mereka secara percuma.

“Masalahnya mengapa hanya kaum yang beragama Islam dipaksa menjadi pelarian, sebaliknya etnik bukan Islam yang lain pula tidak begitu,” katanya dalam ruangan Minda Presiden PAS yang dimuat naik ke laman Facebooknya hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, PAS yang mendukung Islam tidak boleh terperangkap dengan agenda anti Islam yang mengambil kesempatan daripada kumpulan bukan Islam yang lain atau kumpulan Islam yang buta kefahaman politik dalam mempertahankan Islam.

“Malaysia menjadi tempat yang menerima pendatang Rohingnya paling ramai sejak dahulu. Namun, PAS berbeza dengan kalangan daripada Pakatan Harapan (PH) yang lebih berkiblatkan kepada agenda bersama Aung San Suu Kyi, tokoh liberal sanjungan PH yang tidak mempedulikan orang Islam ketika berkuasa dalam kerajaan.

“Bahkan ada kalangan pihak tertentu yang turut menyertai perbicaraan bagi membela Myanmar di Mahkamah Antarabangsa. Kini berlaku rampasan kuasa yang merupakan suatu percaturan politik antara Amerika dan China. Tentera dibayangi oleh kuasa proksinya, Aung San Suu Kyi juga mempunyai proksi sendiri. Maka wajar kerajaan Malaysia mempunyai pertimbangan kemanusiaan dengan mengambil kira percaturan politik yang memerlukan sikap berhati-hati,” katanya.

Abdul Hadi berkata, krisis Rohingya yang belum selesai sehingga kini sengaja dilambat-lambatkan usaha penyelesaiannya, mungkin kerana ia membabitkan penganut Islam yang berhak ke atas tanah airnya sejak dilahirkan ke dunia ini selama beberapa abad yang lalu.

“Tidak boleh dinafikan bahawa mereka adalah penduduk asal sepertimana etnik Bamar, Chin, Kachin, Kayah, Mon, Arakanese, Shan dan pelbagai etnik yang lain daripada kalangan bukan Islam.

“Isu yang berlaku merupakan strategi penjajah British secara khusus dengan meninggalkan masalah laksana bom jangka di setiap negeri yang diberikan kemerdekaan. Pada masa yang sama, penganut Islam dijadikan sasaran utama. Inilah yang dilakukan oleh para penjajah di Palestin, Cyprus, Kashmir dan Myanmar.

“Ketika kemuncak isu pengusiran warga Rohingya daripada tanah air mereka, ia hanya diambil perhatian secara sambil lewa. Kecuali isu Bosnia-Herzegovina yang diberikan perhatian setelah pihak Serb hampir menemui kekalahan, manakala etnik Bosnia dan Herzeg yang menganut Islam pula hampir mendapat kemenangan. Maka dibimbangi bahawa akan wujud sebuah negara Islam di tengah-tengah Eropah yang paling tidak disenangi oleh Barat,” katanya.

Bagaimanapun, Abdul Hadi berkata, sekiranya Islam yang dianuti itu berfahaman komunis sepertimana di Albania, maka keadaan tersebut diizinkan dan itulah sikap double standard mereka terhadap Islam.

“Kaum Rohingnya berada dalam dilema, sama ada wajib bertahan di tanah air mereka atau berhijrah sementara waktu dan meneruskan perjuangan. Ataupun mereka menjadi pelarian yang sudah tidak pulang lagi ke tanah air, dengan menyerahkannya kepada Myammar.

“Bahkan itulah strategi kerajaan Myanmar yang menggalakkan pelarian dengan memberikan kemudahan untuk keluar, disertakan sama orang-orang yang hendak dibuang negeri disebabkan masalah jenayah dan lain-lain,”  katanya.  – Oleh Haika Khazi

Get real time updates directly on you device, subscribe now.