Majlis Fatwa sudah buat keputusan status ajaran sesat ‘Islam Melayu’

132

24 FEB: Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama (Majlis Fatwa Kebangsaan) sudah membuat keputusan mengenai status kumpulan ajaran sesat ‘Islam Melayu’ dibawa oleh individu yang dikenali sebagai ‘Ibu Yati’.

Justeru, Majlis Fatwa Kebangsaan sudah menyerahkan keputusan muzakarah berkenaan kepada Majlis Raja-Raja Melayu akan memutuskan status sebenar berhubung seorang pemilik akaun Facebook yang didakwa terbabit dengan ajaran sesat, baru-baru ini.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk  Abdul Aziz Jusoh berkata, perkara itu sudah dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-118 pada minggu lalu.

ABDUL AZIZ

Katanya, keputusan muzakarah itu sudah diserahkan kepada Majlis Raja-Raja Melayu dan menunggu keputusan untuk diumumkan.

“Setakat ini, saya tidak boleh mendedahkan keputusan muzakarah dan kita tunggu keputusan Majlis Raja-Raja Melayu,” katanya ketika ditanya pemberita mengenai status terkini siasatan kes kumpulan ajaran sesat ‘Islam Melayu’ yang tular di media sosial, pada bulan lalu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan sumbangan Tabung Musa’adah COVID-19 JAKIM-Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dan Pelepasan Konvoi Program Musa’adah Bantuan Bencana Alam Pasca Banjir JAKIM-YWM ke Pasir Mas, Kelantan disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, di Kompleks Islam JAKIM Putrajaya di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Kanan, Institut Latihan Islam Malaysia, yang menjalankan tugas Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, Dr Nordin Ahmad dan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM, Hakimah Mohd Yusof.

Media sebelum ini melaporkan, seorang wanita yang dikenali sebagai Ibu Yati dipanggil ke Pejabat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Bangunan Sultan Idris Shah, di Shah Alam bagi memberi keterangan.

Terdahulu, media melaporkan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah (YADIM), Nasrudin Hassan, meminta pihak berkuasa perlu menyiasat ajaran sesat yang dikenali sebagai Agama Melayu yang dibawah oleh seorang individu yang dikenali sebagai Ibu Yati.

Nasrudin berkata, orang ramai juga dinasihatkan supaya jangan terpengaruh dengan ajaran sesat tersebut.

“Makin mencabar tugas dakwah kita semua pada zaman mutaakhir ini. Sehari dua ini kecoh pula dengan lahirnya agama baru yang dikenali sebagai Agama Melayu. Menggunakan lafaz syahadah yang pelik (seperti yang saya dengar lafaznya iLa Ha iLa Ra iLa Ma) dan disambung dengan pengakuan ‘Aku Melayu’ sebanyak tujuh kali.

“Menolak ajaran Islam yang dianggap sebagai Islam arab. Kononnya mereka membawa Islam Melayu. InsyaAllah, dari sudut penguatkuasaan, pihak berkuasa agama sedang menyiasat dan merencana tindakan berhikmah.

“Bagi agensi dakwah seperti YADIM pula senantiasa siap untuk memberi kefahaman dan pemurnian aqidah serta fikrah,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook miliknya, pada 29 Januari lalu.

Rakaman video tentang kegiatan pengikut ajaran tersebut tular dalam media sosial termasuk Facebook sejak lebih sebulan lalu. Berikutan itu, ramai netizen mempersoalkan beberapa dakwaan tidak masuk akal yang dibuat oleh seorang wanita dipercayai pengasas kumpulan tersebut berhubung akidah Islam.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) selaku pihak berkuasa agama negeri atas kerjasama yang utuh dalam memelihara akidah umat Islam.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.