Kurangkan aktiviti, rehat secukupnya sebelum terima suntikan vaksin

45

24 JAN: Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berharap Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bermula hari ini bakal menyaksikan pengakhiran pendemik Covid-19 tidak lama lagi selepas berlarutan sejak lebih setahun lalu.

Dr Noor Hisham juga melahirkan rasa syukur kerana beliau tidak mengalami kesan sampingan selepas menerima dos pertama suntikan vaksin Comirnaty keluaran Pfizer dan BioNTech bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Presint 11, Putrajaya, hari ini.

“Ini titik permulaan penamatan jangkitan COVID-19 di negara ini. Saya tidak rasa apa-apa (kesan sampingan) selepas menerima suntikan vaksin ini,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas program itu, hari ini.

Empat petugas Kementerian Kesihatan (KKM) iaitu Pegawai Perubatan di Klinik Kesihatan Presint 9, Putrajaya, Dr Tan Yee Ling; Penolong Pegawai Perubatan di PKD Putrajaya, Khairul Asraf Mohd Yasin; Jururawat Klinik Kesihatan Presint 9, Putrajaya, Sheilla Mellissa Sikin serta pemandu di PKD Putrajaya, Clement Marai Francis turut menerima suntikan.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, pemantauan terhadap semua individu yang menerima suntikan vaksin dibuat melalui aplikasi MySejahtera.

“Sekarang kita pantau guna MySejahtera. Kalau ada komplikasi, ia akan terus dilaporkan (kepada KKM),” katanya.

Beliau berkata, semua individu yang menerima suntikan vaksin COVID-19 perlu mendapatkan rehat secukupnya selain mengurangkan aktiviti.

“Mungkin anda perlu kurangkan aktiviti dan banyakkan berehat sebelum menerima vaksin Covid-19. Dari segi suntikan pula tiada masalah,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.